PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menghadiri Muktamar Pas ke-72 di Kelantan pada saat akhir hari ini disebabkan perkara tidak dapat dielakkan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika memaklumkan perkara itu bagaimanapun berkata, beliau menghargai kehadiran wakil UMNO hari ini yang diketuai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Datuk Asyraf selaku Setiausaha Agung UMNO hadir mewakili Presiden UMNO yang tak dapat hadir di saat akhir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Kehadiran wakil UMNO hari ini detik bersejarah baharu dalam landskap politik negara yang dizahirkan dalam usaha menjayakan gagasan besar penyatuan ummah.
“Terima kasih pimpinan UMNO dan delegasi,” katanya ketika berucap pada Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa hari ini, lapor BH.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mengetuai rombongan pimpinan UMNO hadir pada Muktamar Pas hari ini.
Ketibaan pimpinan UMNO itu disambut pimpinan tertinggi Pas yang hadir pada muktamar berkenaan.
Kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar Pas ke-72 kali ini adalah yang kedua selepas muktamar di Pahang pada 2019.
Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai rombongan 25 anggota sayap parti itu menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat.
Selain Muhamad Akmal, Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad bersama ahli jawatankuasanya turut hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas.





