PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengarahkan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dipertahankan pada PRU-16 akan datang.
Beliau berkata, empat kerajaan negeri (SG4) yang dimenangi parti itu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu terus dikekalkan penguasaannya sebagai ‘Negeri Pangkalan’, selain diperkukuh pentadbiran serta agenda Islam.
Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan, pencapaian dan prestasi cemerlang kerajaan negeri perlu disampaikan kepada rakyat melalui mesej jelas dan pantas.
“Terutamanya menangkis serangan fitnah yang dilemparkan serta mengutamakan penyelesaian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.
Abdul Hadi turut menyatakan kesyukuran atas kejayaan melahirkan ‘anak sulung’ Pas di Sabah serta pertambahan kerusi dan pengaruh di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Pas menginsafi tanggungjawab dan kepercayaan rakyat, dengan keutamaan mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti serta adil kepada semua.
Menurutnya, Pahang, Perak dan Selangor disasarkan menyumbang kemenangan seterusnya bagi memperkukuh kerusi Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen.
Pada masa sama, beliau memberitahu, pencapaian di Melaka perlu dilonjakkan memandangkan negeri berkenaan akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengarahkan seluruh jentera parti mengambil langkah strategik bagi memenuhi prasyarat kemenangan menjelang PRU-16.
Menurut beliau, agenda penyatuan ummah menjadi antara keutamaan parti dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau menegaskan, Pas berkewajipan mengambil langkah politik berhikmah bagi menyatukan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk.
“Pas berpegang pada Islam dan tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam mana-mana perjanjian. Pas berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji juga dengan hukum Islam,” jelas beliau.
Beliau berkata, perpaduan umat Islam perlu terus diperkukuh kerana perpecahan hanya melemahkan kemampuan umat menjaga agama, rakyat dan negara.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan usaha memperkukuh perpaduan umat mesti disertai jaminan keadilan kepada masyarakat bukan Islam serta penghormatan kebebasan beragama.
Menurutnya, semua usaha berkenaan hendaklah dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan, termasuk kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara membawa kebaikan kepada negara.
Pas kata Abdul Hadi, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak tanpa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan, dengan usaha penyatuan turut digerakkan di semua peringkat.
Beliau menegaskan, jumlah undi menentukan kemenangan dalam sistem demokrasi, justeru menarik seramai mungkin pengundi menjadi tugas utama seluruh jentera.
Katanya lagi, pengundi atas pagar yang cenderung beralih sokongan perlu ditangani secara bersasar, termasuk pengundi pertama kali, golongan muda, pengundi luar dan ilmuwan.
Pemuda dan Muslimat pula, kata Abdul Hadi, perlu menguasai maklumat anak muda serta memaksimumkan keupayaan kempen media baharu untuk menyantuni segmen berkenaan.
Beliau turut menggesa seluruh jentera Pas untuk menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam dengan membuktikan kemampuan parti.
Menurut beliau, usaha itu perlu disokong pembuktian kemampuan menjuarai isu rakyat, melaksanakan tadbir urus baik serta memberikan khidmat kebajikan kepada masyarakat.
Mengenai pengukuhan organisasi, beliau berkata, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat daripada pelbagai latar belakang digabungkan bersama Majlis Syura Ulamak secara kolektif.
Gabungan itu, katanya, bertujuan memenuhi syarat bertafaqquh bagi mengawal dasar dan strategi parti, manakala mandat penelitian serta keputusan diserahkan kepada badan berkenaan.
Mandat tersebut jelasnya, turut meliputi persediaan menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya bagi memastikan Islam terus memimpin.
“Di samping itu, pemantapan organisasi ialah tunjang kekuatan parti yang mesti diurus dengan cara yang sebaik-baiknya menurut kaedah dan arahan pentadbiran parti pada semua peringkat, termasuklah usaha untuk menambah ahli dan cawangan.
“Pada masa sama, Pas kini sedang menyaksikan gelombang kemasukan ahli baharu daripada pelbagai latar belakang.
“Maka, peranan tarbiah perlu dipertingkatkan dan digerakkan secara tersusun mengikut manhaj yang ditetapkan, bagi memperkukuh kefahaman tentang aqidah perjuangan PAS sebagai wadah gerakan Islam, bukan semata-mata parti politik,” jelasnya.
Menurut Abdul Hadi, seluruh jentera pilihan raya setiap peringkat perlu dipersiapkan pada tahap maksimum dan mematuhi arahan menghadapi PRU-16.
Beliau menjelaskan, PRU-16 boleh diadakan pada bila-bila masa, manakala pemilihan calon hendaklah memenuhi kriteria untuk mengisi kemenangan, terutama istiqamah, berintegriti dan berpengaruh.
Ulasnya, perubahan teknologi serta platform media yang pantas berubah pula menuntut jentera penerangan mengikuti perkembangan semasa bagi mendekati segmen pengundi secara berkesan.
Jentera penerangan juga katanya, perlu mengumpulkan lebih ramai pempengaruh dan pengolah kandungan bagi menyampaikan maklumat serta pendirian parti kepada masyarakat.
Menurut Abdul Hadi, setiap naratif yang dibina perlu sampai kepada sasaran melalui kaedah penyampaian berkesan, selain menjawab dan menerangkan isu dengan pantas serta meyakinkan.
Tambahnya, dalam agenda dakwah dan kebajikan, seluruh jentera parti hendaklah digerakkan bagi menarik sokongan rakyat menerusi gerak kerja dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan.
Gerak kerja itu jelasnya, perlu berhubung dengan pelbagai lapisan rakyat, termasuk segmen pengguna, pekerja, mahasiswa, petani dan nelayan.





