PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menggariskan lima tonggak utama sebagai persiapan parti itu dalam kerangka manifesto Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Menurut beliau, tonggak politik berteraskan integriti, keadilan dan kestabilan, ekonomi berasaskan kemakmuran, pengagihan serta penciptaan nilai, dan sosial meliputi pendidikan, kesihatan serta kebajikan.
Turut ditekankan beliau adalah masyarakat majmuk melalui Piagam Jaminan Hak Bukan Islam serta dasar luar berdaulat dan bermaruah di peringkat antarabangsa.
Abdul Hadi berkata, Rasulullah SAW menunjukkan contoh politik berintegriti ketika seorang wanita bangsawan disabitkan kesalahan mencuri dan hukuman hudud ditetapkan selepas kesalahannya terbukti.
Katanya, beberapa bangsawan kemudian cuba merayu supaya hukuman itu tidak dilaksanakan kerana wanita berkenaan berasal daripada keluarga berkedudukan dan dihormati dalam masyarakat.
Jelas beliau, Usamah bin Zaid RA diminta menyampaikan rayuan berkenaan kepada Rasulullah SAW kerana kedudukannya yang dekat serta sangat dikasihi Baginda.
“Baginda menunjukkan kemurkaan terhadap permintaan itu sebelum menegaskan bahawa hukum hudud yang ditetapkan Allah tidak seharusnya dipengaruhi permintaan membebaskan pesalah.
“Adakah kamu meminta syafaat (tolong membebaskan) dalam perkara hukum hudud yang telah ditetapkan oleh Allah?”, katanya memetik petikan ucapan Rasulullah SAW.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.
Menurut Abdul Hadi, Rasulullah SAW kemudian berdiri di masjid dan memberi peringatan mengenai kebinasaan umat terdahulu akibat layanan berbeza terhadap bangsawan dan golongan lemah.
“Sesungguhnya telah dibinasakan umat terdahulu daripada kamu, berlakunya apabila seorang bangsawan daripada kalangan mereka melakukan kesalahan mencuri, mereka bebaskan tanpa hukuman.
“Dan apabila seorang yang lemah daripada kalangan mereka mencuri, mereka jatuhkan hukuman hudud terhadapnya.
“Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad (puteri kesayanganku) mencuri, nescaya aku (menghukumnya dengan) memotong tangannya,” tambah beliau memetik kata-kata Rasulullah SAW.
Menurut Abdul Hadi, peristiwa itu menjadi teladan politik Islam yang menegakkan kedaulatan undang-undang, menjamin keadilan dan menolak campur tangan berkepentingan.
Beliau menyatakan di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukannya dilihat sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
Katanya, tindakan pula diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan tanpa mengira penerima, pemberi atau perantara.
Beliau turut mengakui berlaku kepincangan pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang amat dikesali serta perlu dibawa ke mahkamah.
Namun jelasnya, tindakan perundangan itu hendaklah dibuat apabila bukti mencukupi, bukannya isu berkenaan dibicarakan melalui media atau pentas politik.
Beliau juga menolak penggunaan isu seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk terhadap pihak tertentu.
Lebih membimbangkan, beliau menyifatkan kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan paling berbahaya ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai kumpulan bukan Islam.
Keadaan itu, katanya, menjadi ancaman kepada maqasid al-syari’ah, justeru tindakan bertujuan menolak kemudaratan besar hendaklah diutamakan berdasarkan kaedah fiqah Islam.
“Menolak keburukan yang banyak lebih diutamakan daripada menarik kemaslahatan,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, pendekatan itu merangkumi fiqah Islam, siasah syar’iyyah dan maqasid al-syari’ah, termasuk aspek tafaqquh dalam urusan al-din serta langkah menolak bahaya.
Pada tonggak ekonomi, beliau menjelaskan Islam meletakkan kegiatan ekonomi sebagai sebahagian daripada kewajipan memakmurkan bumi serta memastikan kekayaan negara memberi manfaat adil kepada rakyat.
Kitaran ekonomi, katanya, hendaklah berpaksikan nilai kekeluargaan dan kesejahteraan hidup rakyat, bukan sekadar mengejar pertambahan angka kekayaan negara.
Pertumbuhan ekonomi juga, kata Abdul Hadi, perlu dirasai semua lapisan melalui peningkatan pendapatan, pertambahan peluang pekerjaan, kos kehidupan lebih terkawal serta pengagihan hasil pembangunan lebih adil.
Beliau menegaskan jurang antara kaya dengan miskin, bandar dengan luar bandar serta antara wilayah perlu dikecilkan supaya kemakmuran tidak tertumpu.
“…Supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang kaya sahajah dalam kalangan kamu…,” jelasnya memetik ayat 7 surah al-Hasyr.
Ekonomi yang dibangunkan, katanya, mesti mencipta nilai dan tidak sekadar bergantung kepada penggunaan serta sumber sedia ada bagi mengukuhkan asas ekonomi negara.
Beliau mahu sektor strategik, perusahaan tempatan, industri halal dan pekerjaan bernilai tinggi diperkasakan supaya negara memiliki ekonomi lebih kukuh serta berdaya saing.
Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, keterjaminan tenaga, air dan makanan hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada kedaulatan negara, manakala kewangan diurus secara bertanggungjawab.
Disiplin fiskal pula menurut beliau, perlu diberi perhatian bagi mengelakkan berulangnya amalan ketirisan, pembaziran dan salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan negara.
Beliau berkata, pembangunan negara tidak sempurna jika hanya membina kebendaan tetapi mengabaikan pembangunan manusia yang merangkumi jasad, akal dan roh.
Menurutnya, Islam membangunkan manusia secara menyeluruh supaya lahir insan berilmu, berakhlak dan mampu memikul tanggungjawab kehidupan melalui penyatuan ilmu, iman dan akhlak.
“Dialah yang telah mengutus dalam kalangan orang yang Ummiyyin seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, menyucikan mereka serta mengajari mereka Kitab dan Hikmah…” jelasnya lagi memetik ayat 2 surah al-Jumu’ah.
Pembangunan insan, ujar Abdul Hadi, mesti menyatukan ilmu, iman, akhlak, kemahiran dan kemampuan menghadapi perubahan zaman, termasuk cabaran teknologi yang semakin berkembang.
Tambahnya, dunia kini memasuki zaman teknologi yang mampu mengubah cara manusia belajar, bekerja dan membuat keputusan, justeru anak muda perlu dipersiapkan menghadapinya.
Mereka jelasnya, bukan sekadar perlu menggunakan teknologi, malah mesti mampu mencipta serta memimpin teknologi, manakala institusi keluarga dan kekuatan masyarakat terus diperkukuh.
Pada tonggak masyarakat majmuk, beliau menjelaskan, perasaan sayang kepada keluarga dan bangsa merupakan sifat fitrah manusia yang tidak boleh dihapuskan.
Namun tegas Abdul Hadi, Islam mengharamkan asabiyyah dan mewajibkan umatnya berlaku adil kepada semua manusia daripada pelbagai bangsa serta agama, termasuk musuh di medan perang.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil!.
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan,” jelas beliau memetik ayat 8 surah al-Maidah.
Prinsip itu, jelasnya, dibuktikan melalui sejarah pemerintahan Islam termasuk kisah Khalifah Ali bin Abi Talib RA yang menuduh seorang bukan Islam mencuri baju besinya.
Abdul Hadi berkata, apabila anak Ali sendiri dilantik menjadi saksi, hakim Syuraih al-Qadhi menolak tuduhan berkenaan sebelum peristiwa itu berakhir dengan pengakuan Yahudi tersebut.
Beliau menceritakan, lelaki Yahudi itu akhirnya mengakui baju besi berkenaan milik Khalifah serta mengiktiraf keadilan Islam yang sebenar melalui peristiwa tersebut.
Beliau menegaskan hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat mampu menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni serta selamat, menjadi komitmen Pas kepada rakyat bukan Islam.
Komitmen itu tegas beliau, meliputi perdamaian dan persaudaraan tanpa paksaan dalam beragama, kewajipan berlaku adil kepada semua serta penghormatan terhadap hak kebebasan beragama.
Pas juga, katanya, komited saling menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara sebagai sebahagian daripada piagam jaminan hak bukan Islam.
Pada tonggak antarabangsa, beliau menyifatkan kezaliman dan keganasan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sebagai keadaan paling melampau yang disaksikan dunia.
Menurut beliau, perang itu bukan sekadar bertujuan menzalimi rakyat Palestin, bahkan mencapai cita-cita Zionis melakar peta baharu Asia Barat serta merealisasikan gagasan Israel Raya.
Dalam keadaan itu, katanya, Iran tampil memberikan dukungan kepada perjuangan rakyat Palestin yang majoritinya bermazhab Sunni sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang.
Beliau berkata, tindakan tersebut mendapat kecaman masyarakat antarabangsa kerana mencabuli prinsip keadilan, undang-undang serta Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kesan konflik jelas Abdul Hadi, turut dirasai seluruh dunia apabila ketegangan di Selat Hormuz memberi tekanan kepada perdagangan, bekalan tenaga dan ekonomi global.
Beliau mengingatkan umat Islam bahawa ancaman tidak mengenal perbezaan bangsa, negara mahupun mazhab apabila kepentingan dan kekuatan umat menjadi sasaran musuh.
Justeru katanya, umat Islam wajib memperkukuh kesatuan, mempertahankan hak dan kedaulatan bersama serta tidak membiarkan perbezaan mazhab dan sempadan negara memecah-belahkan kekuatan umat.
“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,” jelas beliau memetik maksud ayat 8 surah al-Buruj.
Dalam hubungan antarabangsa, Abdul Hadi menegaskan, Pas berpendirian kerajaan perlu lebih berhati-hati dan tegas dengan sikap berkecuali bagi menjaga kepentingan negara serta keselamatan rantau.
Beliau menegaskan Asia Tenggara tidak wajar sekali lagi menjadi medan perang kuasa besar yang bertarung atau menjadi proksi kepada mana-mana pihak.
Menurutnya, kepentingan negara dan keselamatan rantau mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan dasar luar yang dibuat oleh kerajaan.
“Malaysia mesti mempunyai dasar luar yang berprinsip, bebas dan berdaulat tanpa menjadi alat kepada mana-mana kuasa besar dunia.
“Islam mengajar supaya hubungan antara negara dibina atas keadilan, kepentingan bersama dan kerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan.
“Pas akan terus memberikan perhatian terhadap masalah umat Islam yang ditindas di seluruh penjuru dunia.
“Pas juga meletakkan keutamaan untuk menjadi penggerak bagi mengangkat agenda penyatuan ummah di rantau Asia Tenggara dan dunia Islam,” katanya lagi.





