PAS sudah mula berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengadakan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun buat masa ini belum ada keputusan muktamad dicapai.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan berkenaan masih berlangsung dan akan dibuat berdasarkan perkembangan serta keadaan semasa.
“Apa yang saya boleh katakan, perundingan sudah dimulakan namun belum dimuktamadkan. Perkara itu masih berlangsung kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) juga belum dibubarkan.
“Kita akan lihat situasi mengikut keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor BH.
Ditanya jumlah kerusi yang akan ditandingi Pas pada PRN Melaka, Abdul Hadi berkata, perkara itu juga masih belum ditetapkan.
“DUN Melaka pun belum bubar lagi. Kita perlu lihat kepada prestasi dan jentera di Melaka, selain ketelusan kerjasama kita dengan pihak lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan BN menjangka DUN Melaka akan dibubarkan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberi bayangan strategi yang digunakan UMNO dan BN pada PRN Melaka mungkin berbeza berbanding PRN sebelum ini.





