DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan individu yang hanya dipanggil bagi membantu siasatan tidak perlu dipakaikan baju oren kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka.
Perdana Menteri berkata, individu yang memberi kerjasama kepada pihak berkuasa wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lain diputuskan.
“Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu. Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju warna apa.
“Tapi kalau setakat ini, saya hormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tak perlulah dikenakan baju oren kerana akan beri persepsi yang berbeza,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di Ampang hari ini, lapor FMT.
Menurut Anwar, agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menjalankan tugas secara adil serta berhemah.
“Ada bukti, teruskan. Tak ada bukti, lepaskan,” katanya.
Sebelum ini, isu pemakaian baju oren SPRM menjadi perhatian selepas beberapa individu yang direman bagi membantu siasatan dibawa ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap agensi antirasuah itu.
Persoalan mengenai amalan itu turut dibangkitkan di Dewan Negara pada Februari lalu, khususnya sama ada individu yang masih di peringkat siasatan dan hadir bagi prosiding reman perlu dikenakan pakaian berkenaan.
Pemakaian itu dikatakan boleh menimbulkan persepsi terhadap individu terbabit walaupun mereka belum disabitkan kesalahan.
Anwar bagaimanapun menegaskan pendiriannya terhadap usaha membanteras rasuah kekal tegas walaupun kerajaan berdepan pelbagai tekanan.
“Selagi saya pegang amanah ini, kita akan terus bersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.





