DATUK Seri Anwar Ibrahim menyokong cadangan Lembaga Tabung Haji (TH) meletakkan bahagian pelaburan agensi itu di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).
Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian sesuai untuk dilaksanakan bagi mengelak salah guna kuasa atau unsur negatif lain berlaku dalam pengurusan TH.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyokong agenda reformasi TH lain dan memaklumkan sudah menerima taklimat berhubung perkara itu.
“Langkah ini diambil pengurusan baharu TH, diterajui Tan Sri Abdul Rashid Hussain. Ini bagi saya sesuai dan sudah dengar taklimat mereka, selain menyokong tindakan berkenaan.
“Ini termasuk cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 supaya pengurusannya dikawal lebih ketat, sama ada oleh SC atau BNM dan tidak terlepas seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di Ampang hari ini, lapor BH.
Media semalam melaporkan, TH dalam proses memperhalusi rangka kerja kawal selia baharu bagi meletakkan operasi pelaburannya di bawah pengawasan berkanun SC.
Abdul Rashid dilaporkan berkata, keputusan tersebut dicapai selepas pertimbangan terperinci selama hampir enam bulan oleh sebuah jawatankuasa pasukan petugas bersama yang turut dianggotai oleh Pengerusi SC dan Gabenor BNM.
Langkah strategik ini diambil bagi memenuhi syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menekankan kepentingan memastikan faktor luaran berkaitan pengurusan dana TH dipantau oleh institusi yang dipercayai.
Abdul Rashid bagaimanapun menegaskan bahawa peralihan ini tidak bermakna BNM akan diketepikan sepenuhnya daripada operasi institusi pengurusan dana haji tersebut.





