SEORANG pengarah urusan syarikat didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah memberi suapan RM5,000 kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis syarikatnya.
Tertuduh, Goh Chin San, 53, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud semalam.
Chin San yang juga pemilik dan wakil premis serta Pengarah Urusan Huan Mao Technology Sdn Bhd, didakwa memberi wang tunai berjumlah RM5,000 kepada pegawai JAS antara Februari dan November 2025.
Wang suapan itu didakwa diberikan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis syarikat berkenaan atas kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Pertuduhan asal dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan bersetuju menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan pada 18 Ogos lalu selepas pihak pembelaan mengemukakan surat representasi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM35,000 terhadap tertuduh atau penjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Dalam prosiding sama, wang tunai RM5,000 yang telah disita turut dilucutkan kepada kerajaan melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi manakala tertuduh diwakili peguam Saifuddin Shahrudin.




