RUNDINGAN mengenai pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sepatutnya diserahkan kepada pemimpin tertinggi kedua-dua gabungan itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi juga masih terlalu awal untuk diputuskan secara terburu-buru memandangkan PRU-16 masih belum hampir.
“Kalau mereka nak bergabung, itu biarlah Presiden kedua-dua parti bincanglah.
“Kalau saya masuk campur, susah. Jangan merumitkan keadaan. Lambat lagi pilihan raya,” katanya kepada media selepas merasmikan Chinatown 1974 di Petaling Street, Kuala Lumpur hari ini.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, setiap parti mempunyai hak untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Pas Pusat ke-72 di Kota Bharu semalam memaklumkan, partinya akan mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya dalam PRU-15.





