JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 175 warga asing yang disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam serbuan Op Mahir di sekitar Kanthan dan Bercham, di Ipoh, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, majoriti yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 7 malam dan berakhir sekitar 9 malam itu dijalankan selepas pemeriksaan terhadap 305 pekerja membabitkan kilang kayu, kilang sarung tangan getah serta sebuah medan selera yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, Op Mahir turut menyiasat kemungkinan wujud sindiket yang mengeluarkan PLKS palsu.
“Kemungkinan ada majikan tertentu menggunakan khidmat ejen yang mengeluarkan PLKS palsu, jadi kita akan buat siasatan lanjut untuk kita cari sindiket yang terbabit,” katanya pada sidang media malam tadi, lapor Buletin TV3.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, lima daripada 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan pada awal pagi 23 Ogos lalu, berjaya ditahan semula.





