SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan desas desus ketidakhadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Muktamar Pas semalam membawa makna UMNO memilih untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak dapat hadir disebabkan perkara tertentu.
“Tidak betul sama sekali (Zahid tak hadir beri bayangan UMNO mahu bergerak solo). Saya boleh mengesahkan perkara ini kerana saya terbabit secara langsung (rundingan kerjasama dengan UMNO).
“Untuk di PRN Melaka, kita akan meneruskan rundingan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor BH.
Semalam, Ahmad Zahid tidak dapat menghadiri majlis perasmian Muktamar Pas berikutan perkara tidak dapat dielakkan.
Sebaliknya, rombongan pimpinan UMNO itu diketuai Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.





