SEBANYAK 27 jerat haram dimusnahkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di beberapa lokasi ‘hotspot’ dalam hutan sekitar Selangor dan Perak, baru-baru ini.
Rondaan penguatkuasaan itu dijalankan dari 11 hingga 25 Ogos lalu membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Perbadanan Taman Negeri Perak serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, 27 jerat yang ditemukan terdiri daripada jerat spring, jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon.
“Jumlah itu tidak termasuk jebak dan perangkap lain yang turut ditemukan semasa rondaan. Dari segi penggunaannya, jenis dan saiz jerat lazimnya bergantung kepada spesies hidupan liar yang disasarkan.
“Jerat spring lazimnya digunakan untuk menyasarkan babi hutan, manakala jerat sembat dawai dan jerat sembat nilon boleh digunakan untuk menyasarkan hidupan liar yang lebih besar atau lebih kecil bergantung kepada diameter dawai atau tali serta saiz pelentik yang digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara teori, semakin besar saiz jerat dan pelentik yang digunakan, semakin besar saiz hidupan liar yang berpotensi untuk terjerat.
Katanya, dalam sesetengah situasi, jerat yang dipasang mungkin menyasarkan spesies tertentu seperti harimau, namun turut berisiko menjerat hidupan liar lain yang melalui kawasan berkenaan.
“Tambahan pula, jerat sering dipasang dan dilakukan penyamaran supaya menyamai persekitaran sekeliling bagi mengurangkan kemungkinan dikesan.
“Keadaan ini menyebabkan spesies bukan sasaran turut berisiko mengalami kecederaan serius atau mati sekiranya terjerat dan tidak dibebaskan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Abdul Kadir berkata, kerjasama antara agensi melalui rondaan berterusan dan tindakan tertumpu antara inisiatif pencegahan utama bagi melindungi hidupan liar serta habitatnya daripada diceroboh individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, kegiatan menjerat secara haram bukan sahaja mengancam spesies hidupan liar, malah memberi kesan terhadap ekosistem flora dan fauna yang menjadi khazanah negara.





