Pendekatan lembut elak umat berpecah, jangan berbalah – Abdul Hadi

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan lembut dan bijaksana perlu menjadi asas perjuangan Islam bagi menarik manusia kepada kebaikan serta mengelakkan perpecahan umat.

Menurut beliau, perjuangan Islam bukan bertujuan menghapuskan manusia, menjajah atau membunuh, sebaliknya menyelamatkan manusia seramai mungkin.

“Tujuan kita bukan untuk menghapuskan manusia, menjajah atau membunuh. Tujuan kita ialah untuk menyelamatkan manusia seramai yang mungkin,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini, lapor Harakah Daily.

Menurut Abdul Hadi, al-Quran menunjukkan bagaimana para Nabi menghadapi musuh dengan menerangkan dan mengajak mereka kepada Islam, bukannya semata-mata menyerang dan menghentam.

Kata beliau, Nabi Muhammad SAW turut menggunakan pendekatan tersebut ketika berhadapan dengan musuh yang paling keras.

“Apabila sampai ke medan mereka, ajak mereka terlebih dahulu kepada Islam. Jika mereka menerima Islam, maka itu lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan menarik seorang sahaja menerima Islam mempunyai ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Menurutnya, pendekatan sama perlu digunakan dalam politik dan pilihan raya dengan mendekati masyarakat secara berhemah serta mengajak mereka kepada perjuangan Islam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dalam perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan mereka.

Katanya, sejarah umat Islam menunjukkan perpecahan sering berlaku apabila umat diuji dengan kekayaan, kuasa dan kepentingan dunia.

“Allah SWT berfirman agar kita jangan berbalah kerana ia akan menyebabkan kita menjadi lemah dan hilang kekuatan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat pada zaman Saidina Uthman RA apabila ketidakpuasan hati sebahagian masyarakat akhirnya membawa kepada pengepungan rumah dan pembunuhan khalifah berkenaan.

Katanya, selepas Saidina Uthman dibunuh, umat Islam berhadapan konflik lebih besar apabila berlaku pertentangan politik dan perang saudara.

“Dalam keadaan seperti itu, kita hendaklah memilih mudarat yang lebih ringan,” ujarnya mengingatkan konflik yang berlaku dalam sejarah Islam turut dipengaruhi provokasi pihak luar di mana mahu melaga-lagakan umat Islam.

Menurutnya, kemunculan golongan Khawarij juga menunjukkan bagaimana perbezaan pandangan boleh berkembang menjadi perpecahan apabila tidak ditangani dengan ilmu dan kebijaksanaan.

“Mereka tetap orang Islam. Mereka bersolat sebagaimana kita bersolat. Mereka ialah saudara kita dalam agama,” katanya.

Tambahnya, pendekatan lembut dan dialog perlu menjadi kaedah utama dalam menyelesaikan perbezaan supaya umat Islam tidak mudah dipengaruhi pihak yang mahu memecah-belahkan mereka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here