Operasi Lapangan Terbang Soekarno-Hatta digantung susulan abu letusan Anak Krakatau

OPERASI di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia digantung buat sementara waktu selepas abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau dikesan berada di ruang udara sekitar lapangan terbang itu.

Gunung Anak Krakatau yang terletak lebih 150 kilometer dari lapangan terbang berkenaan, dilaporkan meletus semalam dengan menghasilkan pancutan lava serta bunyi dentuman kuat yang dapat didengari sehingga jarak 700 kilometer.

Menurut agensi geologi Indonesia, dua lagi letusan baharu turut direkodkan hari ini.

Susulan pengesanan abu gunung berapi di kawasan udara Soekarno-Hatta, pihak berkuasa mengambil langkah menggantung operasi lapangan terbang bermula jam 1.30 pagi hari ini, bersamaan 6.30 petang Sabtu waktu GMT.

Kementerian Pengangkutan Indonesia dalam kenyataannya memaklumkan keputusan ujian terkini mengesahkan kehadiran abu gunung berapi di sekitar lapangan terbang itu.

“Keputusan ujian terkini menunjukkan penyebaran abu gunung berapi di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. Oleh itu, penutupan operasi dilanjutkan sehingga Ahad jam 9.30 pagi,” menurut kementerian berkenaan.

Penggantungan operasi itu dijangka memberi kesan kepada lebih 22,000 penumpang, selain menyebabkan sebanyak 209 penerbangan terganggu.

Penerbangan yang melibatkan laluan dari dan ke Singapura merupakan antara yang paling terjejas, selain beberapa destinasi antarabangsa lain termasuk Doha, Sydney dan Kuala Lumpur.

Gunung Anak Krakatau diketahui aktif secara berkala sejak kemunculannya dari laut pada awal abad ke-20. Gunung berapi itu terbentuk dalam kaldera yang terhasil susulan letusan besar Gunung Krakatau pada 1883.

Letusan Krakatau pada ketika itu merupakan antara bencana alam paling dahsyat dalam sejarah, dengan anggaran sekitar 35,000 orang terkorban.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here