SEORANG pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) meninggal dunia, manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di kampus UiTM Jengka di Maran kelmarin.
Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai mengesahkan mangsa ialah antara dua pelajar yang menerima rawatan di HoSHAS manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.
“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry,” katanya, lapor NST.
Sementara itu, UiTM Pahang dalam kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry serta menyediakan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
“Universiti menggerakkan bantuan menyeluruh bagi memastikan segala urusan berkaitan jenazah, dokumentasi, pengangkutan serta sokongan emosi kepada keluarga diuruskan dengan sebaik mungkin dan tanpa kesulitan,” kata kenyataan itu.
Menurut UiTM, KKEC adalah program tahunan membabitkan peserta Komander Kesatria dari cawangan UiTM seluruh negara dan dijadual berlangsung dari 2 hingga 8 September ini di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka.
“Program ini dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.
“Semua peserta diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan berkala sebelum setiap acara.
“Beberapa peserta sebelum ini diminta menarik diri selepas gagal dalam saringan akhir,” maklum kenyataan itu.
UiTM memaklumkan, pihaknya mengambil serius kejadian itu dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan semua pihak yang terbabit terpelihara.
Sebagai langkah susulan serta komitmen universiti terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar, penganjur memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini.
Fadhlan Fakhry yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan itu, adalah pelajar tahun akhir program diploma di kampus Seremban.
KKEC adalah pertandingan ketahanan fizikal dan mental tahunan yang direka untuk menguji kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.





