Banjir Nepal: SMART selamat tiba di Kathmandu

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia selamat tiba di Kathmandu, Nepal semalam bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan dan mencari serta menyelamat (HADR) susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, pasukan SMART MAS-01 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu kira-kira jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Pelaporan harian misi akan diselaraskan antara agensi itu dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal

Menurutnya, pasukan berkenaan selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifest anggota pada jam 4.30 petang waktu tempatan.

“Ketika kemas kini disampaikan, pasukan sedang bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa.

“Penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan menjadi tumpuan utama SMART dalam misi SAR di Nepal.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, bagaimanapun keutamaan pasukan bukan hanya mencari rakyat Malaysia, sebaliknya menyelamatkan semua mangsa yang ditemui ketika operasi berkenaan.

NADMA berkata, pelaporan harian misi akan diselaraskan antara agensi itu dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

“Kedudukan keseluruhan pasukan adalah baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat ini,” katanya.

Semalam, sebanyak 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.

Pasukan diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan membawa kira-kira 12.4 tan peralatan termasuk alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah trak muatan 10 tan.

Misi SMART berkenaan dijadualkan berlangsung selama 10 hari dan melibatkan anggota dengan pelbagai kepakaran termasuk mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here