BUNYI televisyen yang dipasang terlalu kuat dipercayai menjadi punca perselisihan faham sebelum seorang wanita warga emas ditetak suaminya menggunakan parang di Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 70-an mengalami luka kecil kurang satu sentimeter pada tangan kanan selepas ditetak suspek.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang wanita warga emas tempatan dalam keadaan berdarah akibat ditetak suaminya.
“Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang juga suami mangsa berusia lingkungan 70-an.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas mangsa memasang televisyen dengan kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang.
“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.





