SEORANG lelaki mualaf dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar, hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakannya dalam pergaduhan bersenjatakan parang dan gunting di sebuah rumah jagaan warga emas di Kluang, tujuh tahun lalu.
Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mansur Poh Abdullah, 68, selepas tertuduh mengaku bersalah melalui pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
Mengikut pertuduhan, Mansur Poh didakwa menyebabkan kematian Asri Asmadi, 55, ketika kejadian di pusat jagaan warga emas di Kampung Chokru, Batu 7, Simpang Renggam, Kluang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 7.05 petang, 10 Oktober 2019 dan Seksyen 304(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, polis menerima panggilan kira-kira jam 8.12 malam memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia di pusat jagaan terbabit.
Susulan penemuan mayat itu, polis menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Melalui temubual, tertuduh mengaku menggunakan parang dan gunting ketika bergaduh dengan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam T Amuthen, Chong Chai Ling, S Paul Krishnaraja dan S Virochean.





