POLIS sedang memburu seorang lelaki warga asing selepas menemukan tiga peket plastik berisi serbuk kristal disyaki syabu seberat 2.13 gram dalam Honda City dipandunya, semalam.
Kenderaan dipandu lelaki terbabit sebelum itu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Reko di Kajang kira-kira jam 6.15 petang, ketika lelaki itu melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, seorang wanita warga asing yang berada di dalam kereta berkenaan berjaya ditahan dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, ketika kejadian, anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengarahkan Honda City terbabit berhenti untuk pemeriksaan.
Katanya, suspek kemudian memecut kenderaannya ke arah Semenyih sebelum memasuki Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) menuju ke Jalan Reko.
“Kereta itu dipandu secara berbahaya dan terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan awam sebelum ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Reko.
“Pemandunya dapat melarikan diri, manakala wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan ditahan. Dia turut gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes ini, kata Naazron, disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Norhafdzeli Ismail di talian 010-373 5508 atau IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.





