POLIS sedang menyiasat seorang individu yang menyamar sebagai penjawat awam dengan memakai uniform pasukan keselamatan serta menggunakan latar belakang menyerupai pejabat kerajaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 petang semalam.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-217 6278 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan modus operandi tersebut yang dipercayai bertujuan menipu dengan menyamar sebagai penjawat awam.
Beliau turut meminta orang ramai supaya menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 jika mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah.
Sebelum ini, kes tersebut turut tular di aplikasi Threads yang memaparkan gambar seorang lelaki menyamar sebagai pegawai kerajaan.






