SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan bagi isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.
SPRM Kedah telah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) pada 26 Ogos 2026.
‘Satu kertas siasatan telahpun dibuka bagi menyiasat aduan tersebut berhubung kelewatan pembekalan baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memenuhi keperluan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkeluasan 100,000 hektar,’’ kata kenyataan tersebut.
Siasatan berhubung isu tersebut dilakukan oleh SPRM Kedah bagi menyiasat bukan sahaja daripada aspek jenayah namun termasuk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan tersebut.
Setakat ini SPRM telah merakam percakapan seorang saksi daripada PESAWAH dan menerima beberapa dokumen berkaitan.
SPRM menyambut baik gesaan serta keprihatinan Perdana Menteri diatas isu ini dan telah berhubung dengan pihak KPKM serta MADA bagi siasatan lanjut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) baru-baru ini.
Kata beliau penelitian itu bagi mengenal pasti punca isu berkenaan selain memastikan tiada ketirisan berlaku.
“Saya tidak tahu syarikat mana, saya kata kalau syarikat ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan (kontrak) ambil syarikat baharu jangan jadikan pesawah, petani mangsa.
“Ambil tindakan, kalau nak didakwa SPRM masuk, saya dah minta SPRM masuk dan kaji balik proses ini,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk membatalkan kontrak mana-mana syarikat yang berulang kali gagal melaksanakan pengagihan bekalan baja seperti diamanahkan.





