Pelaburan berkualiti mesti bina ekosistem tempatan – Johari

PELABURAN berkualiti tinggi yang masuk ke Malaysia tidak seharusnya berakhir dengan kemasukan modal semata-mata, sebaliknya perlu membina ekosistem tempatan yang mampu menghubungkan syarikat Malaysia dengan rantaian bekalan global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan syarikat tempatan menjadi vendor, selain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu menyertai rantaian bekalan global.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan juga perlu membawa kepada pemindahan teknologi dan kemahiran serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat tempatan, termasuk yang dimiliki atau dipimpin wanita, berkembang daripada usahawan kecil kepada peserta pasaran serantau.

“Sebagai MITI, salah satu perkara yang sangat penting kepada kita ialah memastikan pelaburan berkualiti tinggi bukan sekadar datang ke Malaysia,” katanya ketika berucap pada ‘Voices of HER Forum 2026’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, Malaysia juga tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu bergerak daripada pengguna kepada pengeluar, penerima teknologi kepada pencipta teknologi dan akhirnya daripada pengeluar kepada pengeksport.

Katanya, syarikat Malaysia perlu berupaya membangunkan penyelesaian dan produk sendiri sebelum membawa hasil ciptaan berkenaan ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, perubahan itu amat penting dalam konteks kecerdasan buatan (AI) yang kini berkembang pada skala, kelajuan dan keupayaan berbeza, dengan teknologi berkenaan bukan lagi sekadar isu teknologi tetapi berkait rapat dengan produktiviti, daya saing dan penciptaan nilai.

“AI boleh membantu syarikat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, mempercepatkan proses, membuat keputusan berdasarkan data, meningkatkan kualiti malah boleh membuka model perniagaan baharu,” katanya sambil menyifatkan AI sebagai pengganda ekonomi.

Johari berkata, persoalan yang perlu diberi perhatian bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi berapa banyak nilai yang mampu dicipta menerusi teknologi berkenaan kerana kekuatan sesebuah ekonomi diukur berdasarkan nilai yang mampu dicipta, dimiliki dan dibawa ke pasaran dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia mahu syarikat tempatan membina teknologi untuk dunia, meletakkan produk Malaysia dalam rantaian bekalan global, selain mengembangkan syarikat pemula niaga menjadi skala besar dan melahirkan lebih banyak juara serantau.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, perubahan teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan antara manusia dengan AI, sebaliknya gabungan kedua-duanya perlu menjadi asas kepada tenaga kerja masa depan.

“Manusia tetap mempunyai kekuatan yang tidak boleh digantikan dengan mudah, termasuk empati, kreativiti, pertimbangan, pengalaman, nilai dan tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, wanita Malaysia perlu mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk menggunakan AI sebagai alat bagi meningkatkan produktiviti, membina perniagaan, mencipta pekerjaan dan menghasilkan nilai baharu, bukannya takut terhadap perubahan teknologi.

Pada masa sama, katanya, pendekatan terhadap penyertaan wanita dalam ekonomi digital juga perlu berubah daripada sekadar membantu mereka memulakan perniagaan kepada usaha membolehkan perniagaan itu berkembang.

“Kita sudah banyak membantu wanita memulakan perniagaan, menggunakan platform digital dan memasarkan produk. Itu semua penting,” katanya.

Namun, beliau berkata, persoalan yang lebih besar ialah sama ada wanita hanya mahu berada pada tahap menjalankan perniagaan atau turut dibangunkan sehingga mencapai tahap bersedia berkembang pada skala yang besar, dengan peluang berkembang sebagai pembekal, vendor, pengilang, pengeksport atau rakan kongsi strategik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here