Malaysia, AS setuju teruskan dialog perkukuh hubungan perdagangan

MALAYSIA dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju meneruskan dialog serta libat urus secara konstruktif dan telus bagi menangani isu perdagangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuannya dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, sempena lawatan kerja beliau ke Washington DC.

DATUK Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan bersama Jamieson Greer sempena lawatan kerja beliau ke Washington DC. GAMBAR: Facebook Johari Abdul Ghani

Beliau berkata, dalam mesyuarat berkenaan, Malaysia turut menegaskan peranannya sebagai rakan dagang yang dipercayai serta penyumbang penting kepada rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Tambahnya, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala berasaskan kepentingan bersama.

“Perbincangan turut menyentuh perkembangan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 301 dan Seksyen 232 yang berpotensi memberi implikasi kepada eksport Malaysia.

“Saya turut menegaskan harapan Malaysia supaya sebarang tindakan perdagangan mengambil kira kepentingan bersama, saling melengkapi serta tidak menjejaskan kestabilan dan daya tahan rantaian bekalan global,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Johari, usaha meneruskan dialog dan libat urus itu penting bagi melindungi kepentingan perdagangan serta pelaburan negara.

Pada masa yang sama beliau berkata, langkah berkenaan juga dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan ekonomi yang stabil, dipercayai dan berdaya saing.

Hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS kekal kukuh sebagai rakan dagang strategik yang utama.

Nilai perdagangan dua hala mencatatkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus kepada RM137.16 bilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

AS juga kekal menjadi antara destinasi eksport terbesar negara, terutamanya bagi sektor berteknologi tinggi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img