KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijangka memperkenalkan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) tahun depan bagi menggalakkan pengeluar automotif global meningkatkan penggunaan komponen tempatan sekali gus memperkukuh pembangunan vendor automotif negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mekanisme itu memberi ruang kepada syarikat automotif asing meningkatkan penggunaan kandungan tempatan secara berperingkat, tanpa meletakkan syarat penggunaan komponen tempatan secara menyeluruh sejak awal.
“Kita tidak mengharapkan mereka menggunakan 100 peratus komponen tempatan. Mulakan dengan 10 peratus, 20 peratus, 30 peratus dan 40 peratus. Itu yang kita mahu berlaku,” katanya selepas melancarkan Hab Pembuatan Elektronik Automotif MCE bernilai RM50 juta di Serendah hari ini.
Johari berkata, kerajaan turut mahu mengekang amalan segelintir syarikat yang memanipulasi takrif kandungan tempatan dengan hanya menggunakan syarikat tempatan sebagai perantara bagi menjual semula komponen import sebelum dipasang sebagai produk akhir.
Menurut beliau, amalan sedemikian tidak memberi nilai tambah sebenar kepada industri tempatan kerana komponen masih diimport sepenuhnya tanpa membangunkan keupayaan pengeluar tempatan.
Tambah Johari, keperluan memperkukuh rantaian bekalan tempatan menjadi semakin mendesak apabila defisit perdagangan Malaysia bagi kenderaan bermotor serta alat ganti dan komponen meningkat daripada RM13 bilion pada 2020 kepada RM33.8 bilion pada 2025.
Jelas beliau, perubahan pesat landskap automotif global, khususnya kemasukan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, memerlukan Malaysia memperkenalkan dasar yang mampu meningkatkan penyertaan vendor tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.
Pada masa sama, Johari memberitahu, model kerjasama antara pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua dengan rakan teknologi asing membuktikan pembangunan industri tempatan mampu dicapai menerusi pemindahan teknologi dan peningkatan penggunaan komponen tempatan.
Katanya, kedua-dua syarikat itu kini mencatat pendapatan melebihi RM30 bilion dengan lebih RM15 bilion daripada nilai pembelian komponen dibuat dalam negara.
Sehubungan itu, Malaysia memerlukan lebih banyak pelabur automotif asing yang bersedia berkongsi teknologi dan membangunkan vendor tempatan bagi memastikan negara menjadi hab pembuatan automotif yang lebih berdaya saing di rantau ini.
“Kami tidak membeli jenama mereka kerana jenama itu milik mereka. Namun apabila mereka datang ke Malaysia, mereka bukan sekadar memasuki pasaran domestik, sebaliknya memperoleh akses kepada pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 700 juta penduduk,” katanya.
Ketika ini, kira-kira 730 vendor automotif khusus menyokong ekosistem industri negara dengan menyediakan lebih 700,000 peluang pekerjaan serta menyumbang RM84 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.






