Automasi bukan lagi pilihan, industri perlu bertindak segera – Johari

INDUSTRI perlu mempercepatkan penggunaan automasi dalam operasi dan pengeluaran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, khususnya apabila bekalan tenaga kerja itu tidak lagi dapat dipertahankan pada kadar seperti sekarang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan merentasi semua saiz syarikat, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bagi memastikan industri bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran tenaga kerja.

“Dari soal industri, kita nak banyak syarikat tak kira apa saiz, sama ada mikro, kecil, sederhana. Kita nak bagi penerangan betapa pentingnya bahawa kita kena bawa automasi ke dalam operasi dan juga pengeluaran kita ini dengan secepat mungkin,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup ‘Voices of HER Forum 2026’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Johari, bekalan pekerja asing pada masa depan tidak boleh lagi diharapkan pada kadar seperti sekarang, sekali gus menjadikan automasi antara pendekatan yang perlu diberi perhatian oleh industri.

Katanya, pekerja asing pula sepatutnya digunakan bagi pekerjaan yang tergolong dalam kategori 3D iaitu sukar, berbahaya dan kotor, manakala pekerjaan lain perlu dinilai dari segi keperluan serta nilai ekonomi kepada pekerja tempatan.

“Pada masa akan datang, kita tidak boleh lagi memiliki pekerja asing pada kadar seperti yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata, kelonggaran pengambilan pekerja asing sebelum ini membolehkan jumlahnya mencecah 2.6 juta, dengan kumpulan itu membantu melaksanakan pekerjaan 3D supaya pengeluaran dapat dilakukan dan seterusnya meningkatkan eksport.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penggunaan pekerja asing bukan bertujuan menggantikan pekerja tempatan kerana struktur kehidupan pekerja tempatan berbeza, termasuk mempunyai keluarga, pendidikan dan kelulusan.

Katanya, jika industri terus diberikan kelonggaran dalam penggunaan pekerja asing, ia boleh menimbulkan masalah dari sudut persaingan antara syarikat yang mempunyai akses kepada pekerja asing dengan syarikat yang tidak mempunyai akses sama.

“Kalau kita bagi fleksibiliti sampai 2.6 juta pekerja asing, jadi mereka ini sebenarnya kita bawa dalam negara ni untuk membantu melaksanakan kerja-kerja 3D,” katanya.

Sehubungan itu, Johari berkata, kerajaan mahu mempromosikan ekonomi digital, platform digital dan automasi supaya pada satu tahap industri tidak lagi bergantung kepada pekerja asing kecuali bagi pekerjaan 3D.

Beliau berkata, pendekatan itu juga penting untuk mewujudkan padang persaingan sama rata dalam kalangan syarikat, khususnya apabila struktur kos buruh menjadi antara faktor yang mempengaruhi keupayaan sesebuah syarikat untuk berkembang.

“Bila kita tidak lagi bergantung kepada pekerja asing, semua syarikat berada pada kedudukan yang sama. Jadi, kalau gaji pekerja meningkat, semua syarikat perlu menaikkan gaji pada kadar yang sama,” katanya.

Pada masa sama, Johari berkata, isu gaji turut memainkan peranan penting dalam keputusan pekerja tempatan menerima sesuatu pekerjaan kerana mereka akan melihat nilai ekonomi yang diperoleh daripada pekerjaan berkenaan.

Beliau memberi contoh rakyat Malaysia yang sanggup berulang-alik ke Singapura untuk bekerja walaupun perjalanan mengambil masa lebih satu jam kerana melihat nilai ekonomi yang diperoleh daripada pekerjaan itu.

Katanya, apabila pekerjaan tidak memberikan nilai ekonomi yang dirasakan mencukupi, pekerja tempatan mungkin memilih pekerjaan lain yang menawarkan pulangan harian dan fleksibiliti lebih baik.

“Bila pekerjaan itu tidak mempunyai nilai ekonomi yang menarik, akhirnya mereka memilih untuk buat kerja seperti bawa e-hailing daripada bekerja dalam sektor berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, mana-mana industri yang tampil kepada MITI untuk mendapatkan pekerja asing perlu terlebih dulu menjelaskan pekerjaan 3D yang hendak diisi, selain menyatakan gaji permulaan dan kelayakan bagi pekerjaan yang bukan dalam kategori berkenaan.

Beliau berkata, pengurangan pekerja asing bukan 3D tidak akan dilakukan secara serta-merta, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan industri.

“Kalau sebelum ini syarikat mempunyai 1,000 pekerja dan 20 peratus daripadanya dalam pekerjaan 3D, bermakna 200 pekerja adalah untuk kerja 3D, manakala 800 lagi perlu dikurangkan secara berperingkat. Ia bukan dilakukan serta-merta, tetapi perlu dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here