Penglibatan wanita dalam politik perlu diperkasa melalui reformasi sistem – Noraini

PENGLIBATAN golongan wanita dalam politik negara perlu diperkasa melalui reformasi sistem yang lebih menyeluruh dan berstruktur bagi memastikan representasi yang lebih seimbang dalam landskap demokrasi.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, walaupun wanita di negara ini mencatat pencapaian memberangsangkan dalam bidang pendidikan dan ekonomi, penyertaan dalam arena politik masih berada pada tahap rendah dan tidak mencerminkan keupayaan sebenar golongan itu.

DATUK Seri Dr Noraini Ahmad (lima dari kiri) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) yang turut menghadiri Forum Voices of HER 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini

“Ketika wanita mendominasi lebih 60 peratus kemasukan ke universiti dan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 56.6 peratus, perwakilan wanita di Dewan Rakyat masih sekitar 13.5 peratus sahaja,” katanya.

Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika merasmikan Forum Voices of HER 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan wujud jurang ketara antara pencapaian wanita dalam sektor lain berbanding penglibatan dalam proses membuat keputusan politik.

Tambahnya, kekurangan suara wanita dalam politik bukan sahaja memberi kesan kepada golongan wanita, malah turut menjejaskan kualiti dasar awam yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Noraini mencadangkan beberapa pendekatan termasuk pelaksanaan mekanisme kuota atau insentif dalam sistem pilihan raya, penambahbaikan struktur pencalonan parti politik serta pembangunan kepimpinan wanita secara sistematik.

“Peningkatan penyertaan wanita tidak akan berlaku secara semula jadi tanpa intervensi dasar yang jelas, terancang dan berterusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perubahan budaya masyarakat terhadap kepimpinan wanita perlu diperkukuh bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang berada di barisan hadapan dalam menentukan hala tuju negara.

Forum bertemakan `Wanita & Politik: Kepimpinan, Representasi & Realiti’ itu menghimpunkan pelbagai tokoh tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran serta strategi memperkukuh peranan wanita dalam landskap politik.

Antara yang turut mencuri perhatian adalah perkongsian pengalaman Speaker KwaZulu-Natal Legislature dari Afrika Selatan, Nontembeko Boyce yang berjaya meningkatkan perwakilan wanita di wilayah itu kepada hampir 45 peratus.

Noraini berkata, pengalaman antarabangsa itu membuktikan bahawa perubahan signifikan boleh dicapai sekiranya terdapat komitmen politik dan dasar yang menyokong.

“Perjuangan memperkasa wanita dalam politik adalah usaha penting untuk membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan progresif,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img