SEMBILAN individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas sebuah van Toyota Hiace merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Kesas-Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa dilaporkan tersepit di bahagian pemandu, manakala tujuh mangsa lain mengalami kecederaan ringan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Redzuan Mohd Rani, kemalangan membabitkan sebuah van Toyota Hiace yang dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler.
“Pasukan bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dan berjaya mengeluarkan mangsa berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala enam lagi dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Status seorang mangsa lagi sedang dalam tindakan pihak berkaitan,” katanya.





