DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan kembali pesanan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai ancaman tiga ‘C’ iaitu komunisme, komunalisme dan rasuah masih relevan sehingga kini.
Perdana Menteri berkata, meskipun ancaman komunisme dari sudut ketenteraan tidak lagi wujud seperti pada era Tun Abdul Razak, kewujudan ideologi asing yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, rasuah pula masih menjadi antara masalah besar yang perlu diberi perhatian.
“Corruption (rasuah) masih jadi satu masalah besar. Mudah-mudahan kita tidak terlepas daripada pesanan pemimpin negara yang boleh menerobos waktu dan melihat hal yang boleh menyelamatkan negara dan dihindari generasi hari ini dan akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak di Memorial Tun Abdul Razak di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurut Anwar, pada ketika itu Tun Abdul Razak melihat tiga ‘C’ sebagai antara cabaran besar kepada negara yang masih muda.
“C pertama ialah komunisme. Ancaman gerombolan komunis ketika itu tidak boleh diremehkan kerana ia merupakan ancaman bersenjata yang menyebabkan anggota tentera dan polis terkorban.
“C kedua adalah komunalisme. Ini merupakan proses yang sangat menyakitkan kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan rakyat mudah terheret dengan sentimen kaum yang kuat jika tidak dikawal.
“C yang ketiga, bayangkan pada tahun 70-an, Tun Razak menyebut ancaman ketiga yang bahaya kepada negara, korupsi,” katanya.
Anwar berkata, Tun Abdul Razak turut menekankan kepada golongan mahasiswa mengenai bahaya komunalisme, termasuk kefahaman serong daripada semangat kebangsaan Melayu kepada fahaman perkauman sempit.
Tambah beliau, Tun Abdul Razak juga pernah mengingatkan golongan muda mengenai perjuangan menolak rasuah yang perlu diteruskan, terutama apabila mereka memasuki kelompok penguasa.
Anwar berkata, pesanan itu tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar catatan sejarah, sebaliknya perlu dihayati sebagai pedoman untuk generasi masa kini dan akan datang.
“Saya percaya arkib negara bukan sahaja menceritakan kisah-kisah penting Tun Abdul Razak, tetapi gagasannya. Saya rasa untuk melakukan keadilan kepada negarawan adalah usaha kita untuk menyemarakkan obor, ‘rekindle its flame’,” katanya.
Anwar turut menyentuh sumbangan Tun Abdul Razak dalam menggagaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB), termasuk usaha membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Beliau berkata, konsep DEB kekal sebagai gagasan penting dari sudut penstrukturan masyarakat dan usaha membasmi kemiskinan, meskipun perlu diselaraskan dengan tuntutan semasa.





