Gaji perlu setimpal untuk menarik pekerja tempatan – Johari

INDUSTRI di negara ini perlu menawarkan pekerjaan dengan nilai ekonomi yang setimpal bagi menarik minat pekerja tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pekerja tempatan akan menilai manfaat ekonomi sesuatu pekerjaan sebelum membuat keputusan untuk menerimanya.

Menurut beliau, situasi itu dapat dilihat apabila rakyat sanggup berulang-alik ke Singapura untuk bekerja kerana pendapatan yang diperoleh dianggap berbaloi.

“Rakyat kita ini gaji buat kerja sebab apa saya cakap gaji buat kerja, kalau lihat tengok tiap-tiap pagi dia pergi ke Singapura untuk buat kerja, sebab apa?.

“Walaupun susah perjalanan satu jam lebih, balik satu jam lebih Tetapi dia ambil kerja itu kerana ada nilai ekonomi yang dia dapat,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup ‘Voices of HER Forum 2026’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Johari, jika pekerjaan tempatan tidak menawarkan nilai ekonomi yang menarik, sebahagian rakyat mungkin memilih pekerjaan lain seperti pemandu e-hailing yang menawarkan pendapatan lebih fleksibel, selain membolehkan mereka mengurus keperluan keluarga.

Sehubungan itu, Johari berkata, mana-mana industri yang memohon untuk mendapatkan pekerja asing perlu terlebih dahulu menjelaskan jenis pekerjaan 3D yang memerlukan tenaga kerja berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan pekerja asing secara mendadak, sebaliknya pengurangan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan industri.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya sesebuah industri mempunyai 1,000 pekerja dan hanya 20 peratus daripadanya diperlukan untuk pekerjaan 3D, jumlah pekerja asing boleh dikurangkan secara berperingkat bagi pekerjaan yang bukan dalam kategori berkenaan.

Dalam pada itu, Johari berkata, budaya industri yang terlalu bergantung kepada pekerja asing turut menyebabkan sesetengah syarikat kurang terdorong untuk melaksanakan automasi.

Menurutnya, penggunaan tenaga kerja asing sebagai penanda aras kos buruh menyebabkan struktur kos sesetengah industri kekal rendah, sekali gus memberi tekanan kepada graduan dan pekerja tempatan yang mempunyai kelayakan.

“Bila ada orang yang ada kelulusan, graduan yang keluar pun tak boleh dapat beza dengan pekerja asing. Sebab pekerja asing pun dapat sampai sekitar RM1,800, RM1,900. Jadi orang rasa kemarahan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan industri tempatan perlu meningkatkan produktiviti melalui automasi, selain menawarkan struktur gaji yang lebih kompetitif bagi menarik tenaga kerja tempatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here