Peniaga OKU dalam talian didakwa berlagak seperti perempuan

SEORANG peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan berlagak seperti perempuan pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Khairul Izwan Sidi Ahmad, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Firdaus W Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa berlagak seperti perempuan dengan memakai baju-T ketat, seluar dalam wanita dan selipar perempuan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), kira-kira jam 2.35 petang pada 9 November 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kelantan, Syafika Mat Husin dibantu Ezarihan Mat, manakala tertuduh diwakili peguam Syarie Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohd Faqqhurudin Mohd Nasir.

Terdahulu, Syafika mencadangkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin, namun Muhammad Syarafi memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM500 dengan mengambil kira status anak guamnya sebagai orang kurang upaya (OKU) serta menjadi penyumbang terbesar bagi membiayai komitmen keluarga.

“Tertuduh seorang OKU dan kami mempunyai maklumat mengenai status itu selain perlu menanggung bil elektrik kediaman keluarga lebih RM400 yang sekali gus menjadi komitmen bulanannya,” katanya, lapor Harian Metro.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Muhammad Syarafi berkata, anak guamnya telah membayar wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here