TINDAKAN seorang lelaki mengintai anak tirinya sedang mandi, Ahad lalu, membongkar perbuatan mencabul wanita itu empat tahun lalu.
Susulan kejadian itu, lelaki berusia 43 tahun berkenaan yang juga penganggur direman tiga hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 22 tahun, semalam.
Berdasarkan laporan, mangsa sedang mandi di rumahnya di Parit Sulong, dekat sini, kira-kira jam 10 malam Ahad lalu sebelum terdengar bunyi seakan-akan pintu bilik air diumpil.
Mangsa kemudian keluar dan dimaklumkan kakaknya bahawa bapa tirinya dilihat mengintai melalui celah pintu bilik air.
Mangsa kemudiannya bertanyakan perkara itu kepada suspek, namun lelaki berkenaan tidak mengaku sehingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis yang turut mendedahkan perbuatan suspek mencabulnya pada April 2022.
Dalam laporan itu, mangsa mendakwa dicabul suspek ketika berusia 18 tahun di dalam sebuah bilik di rumahnya.
Bagaimanapun, mangsa tidak membuat laporan polis ketika itu selepas dinasihati ahli keluarganya.
Siasatan awal mendapati suspek berkahwin dengan ibu mangsa pada 2014, dua tahun selepas kematian bapanya pada 2012.
Bertindak atas laporan diterima, polis menahan suspek di sebuah pusat mencuci kenderaan di Jalan Tanjung Laboh, kira-kira jam 1.10 tengah hari semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.





