Polis tumpaskan sindiket proses dadah antarabangsa, kilang proses dadah bernilai RM2.4 bilion digempur

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket memproses dadah berskala besar selepas menyerbu sebuah kilang di Puncak Alam, Shah Alam dalam Op Eumenes diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM2.4 bilion itu direkodkan sebagai jumlah rampasan dadah terbesar negara tahun ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan bahan prekursor termasuk peralatan dan kelengkapan dari luar negara sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui kargo.

“Sindiket ini kemudian menggunakan kawasan perindustrian yang bersesuaian sebagai lokasi pemprosesan dan penghasilan dadah,” katanya dalam sidang media di Eco Business Park V di Puncak Alam, Shah Alam hari ini.

Hussein memberitahu, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini dengan menyewa kilang berskala besar pada kadar RM10,000 sebulan.

Menerusi rampasan terbabit, rangkaian sindiket dadah antarabangsa dipercayai berjaya dipatahkan sepenuhnya dengan kematian suspek yang ditembak mati di Seremban beberapa hari lalu, yang dipercayai menjadi dalang.

Dalam operasi itu, beliau berkata, polis turut menahan lima suspek termasuk seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai berperanan sebagai ‘ahli kimia’.

Pelbagai jenis kenderaan bernilai RM270,000 turut disita, katanya lagi.

Dalam pada itu, Hussein berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10.82 juta menerusi Op Melanoplus yang dijalankan di sekitar Lembah Klang.

Jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM356,744 membabitkan tiga kenderaan, pelbagai jenis barang kemas dan wang tunai, turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here