180 warga Malaysia dipercayai keldai dadah ditahan di luar negara

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat  Bukit Aman merekodkan seramai 180 rakyat Malaysia dipercayai keldai dadah ditahan di luar negara sepanjang tempoh 2024 hingga April lalu.

Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 84 orang direkod ditahan pada 2024 dan menurun kepada 66 individu pada tahun lalu.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga April lalu pula, seramai 30 rakyat Malaysia dipercayai keldai dadah ditahan di luar negara.

“Walaupun angka ini menunjukkan penurunan, namun jumlah itu masih dilihat membimbangkan kerana masih terdapat lagi kes keldai dadah dari Malaysia di luar negara.

“Antara negara di mana keldai dadah Malaysia ditahan ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada individu yang mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau ganjaran dijanjikan sindiket.

“Tangkapan ini kebanyakannya terdiri daripada individu yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan atau ganjaran mudah tanpa menyedari risiko serta kesan undang-undang yang sangat berat di sesebuah negara berkenaan,” katanya.

Menurut Hussein, pihaknya turut merekodkan seramai 50 tangkapan keldai dadah di negara ini membabitkan warga tempatan dan warga asing sejak tahun lalu hingga April lalu.

Katanya, seramai 25 individu ditahan membabitkan warga tempatan dan warga asing di Malaysia pada 2025, manakala bagi tahun ini hingga April lalu, jumlah tangkapan turut mencatatkan 25 individu setakat ini.

“Pada tahun lalu, daripada jumlah tangkapan, warga Malaysia mencatat bilangan tertinggi iaitu seramai 12 individu, diikuti masing-masing dari Taiwan (lima), Britain (tiga), Maldives (tiga) dan Indonesia (dua).

“Bagi tahun ini sehingga April lalu, warga tempatan turut mencatat bilangan tertinggi iaitu seramai tujuh individu dan ia diikuti Britain (lima), Singapura (empat), Perancis (tiga), Indonesia (dua) dan masing-masing seorang warga Hong Kong, Thailand, Slovakia dan Ireland,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antarabangsa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan.

Katanya, JSJN sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan luar negara melalui perkongsian risikan, operasi bersama dan pertukaran maklumat.

“Maklumat risikan hasil soal siasat terhadap keldai dadah akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa dadah berkaitan bagi mengenalpasti rangkaian sindiket antarabangsa manakala bagi rangkaian ahli sindiket di Malaysia, JSJN akan meneruskan siasatannya di sini.

“Melalui pertukaran maklumat risikan ini, beberapa rangkaian sindiket berjaya dikenal pasti dan dilumpuhkan, termasuk aktiviti perekrutan keldai dadah di peringkat antarabangsa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img