Penunggang maut, pembonceng cedera motosikal bergesel besi penghadang jalan

SEORANG lelaki tempatan maut manakala pembonceng wanita warga asing cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan bergesel dengan besi penghadang jalan di Kilometer 47.1 Jalan Cyberjaya-Putrajaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima makluman tentang kemalangan itu pada jam 7.32 pagi.

“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha 135LC berwarna biru itu dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 30-an bersama dengan seorang wanita warga asing berusia 40-an, dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas dan bergesel dengan besi penghadang jalan di sebelah kiri lorong kecemasan sebelum kedua-duanya terjatuh di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizam berkata, penunggang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan hospital.

“Pembonceng pula mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan leher serta mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, mangsa lelaki yang bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta itu mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh, manakala pembonceng wanita warga asing itu turut bekerja di pusat jagaan warga emas swasta.

Beliau berkata, kes ini disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Norhizam turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-558 8221 atau 03-8777 4264,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here