Identiti 5 mangsa helikopter terhempas dikenal pasti – Polis Sarawak

POLIS hari ini mengesahkan identiti kesemua lima mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Long Lellang di Ulu Baram, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah berkata, identiti kesemua mangsa berjaya dikenal pasti oleh pihak berkuasa melalui pengecaman barangan peribadi yang ditemui pada jasad mereka.

Menurutnya, mangsa yang terkorban dalam insiden tragis berkenaan ialah juruterbang syarikat Layang-Layang Aerospace, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan.

“Turut terkorban dalam kejadian itu ialah Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

“Dua Jururawat Masyarakat (SN) yang berada dalam penerbangan berkenaan turut terkorban iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, manakala seorang lagi mangsa ialah Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry, 31,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, kesemua lima mangsa dijumpai di dalam bangkai helikopter berdaftar 9M-LLF yang terhempas dan terbakar di hujung landasan terbang berkenaan.

Beliau memberitahu, walaupun pengecaman awal barangan peribadi telah dilakukan, identiti secara rasmi kesemua mangsa masih tertakluk kepada pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, kesemua jenazah mangsa kini dijadualkan akan diterbangkan ke Hospital Miri bagi menjalani proses bedah siasat serta ujian sampel DNA berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas kronologi kejadian, beliau memberitahu, pihak berkuasa menerima maklumat berhubung kemalangan helikopter terbabit pada jam 3.40 petang semalam.

“Helikopter berkenaan terdahulu dilaporkan berlepas dari Miri pada jam 10.21 pagi sebelum mendarat di Ba’ Lai pada jam 11.39 pagi bagi melaksanakan tugasan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

“Pesawat itu kemudiannya berlepas menuju ke Long Siut, Selungo pada jam 1.41 tengah hari dan mendarat sembilan minit kemudian bagi tujuan pengisian semula bahan api.

“Pada jam 3.21 petang, helikopter berkenaan dipercayai mengalami kemalangan ketika sedang berusaha untuk mendarat di Landasan Terbang Long Lellang lalu terhempas di hujung landasan,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, tujuan penerbangan ke Long Lellang adalah bagi bermalam di kawasan itu sebelum meneruskan penugasan FDS seterusnya di Tanjong Durian yang dijadualkan hari ini.

Susulan kejadian tragis itu, katanya, Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lapangan Terbang Miri telah diaktifkan serta-merta bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan pengesahan keadaan mangsa.

Beliau berkata, operasi SAR dan siasatan di tempat kejadian digerakkan secara besar-besaran membabitkan seramai 67 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), KKM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12, Rela dan Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB).

Siasatan di tapak kejadian turut dibantu pasukan Forensik JSJ IPK Sarawak dan Pasukan Khas STORM Bomba Zon Miri, bersama sokongan logistik membabitkan empat buah pesawat penerbangan serta lima buah kenderaan pacuan empat roda, tambahnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here