UMNO tidak akan kembali kuat hanya dengan mengingati masa lalu sebaliknya akan kembali kuat apabila rakyat melihat masa depan mereka bersama parti itu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Damansara, Amin Mohd Shukor berkata, itulah hakikat politik Malaysia hari ini yang harus difahami oleh ahli-ahli parti tersebut.

‘’Rakyat tidak lagi hanya bertanya siapa yang pernah memerintah. Mereka kini bertanya siapa yang mampu mentadbir dengan lebih baik, siapa yang mampu menyelesaikan masalah mereka dan siapa yang mampu menjamin masa depan anak-anak mereka,’’ katanya.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hayat UMNO tidak boleh menyandarkan kepada perhitungan dan kekuatan parti lain, sebaliknya UMNO mesti berdikari.
Kata beliau parti itu harus membangunkan kekuatannya dengan cara dan strategi sendiri.
‘’Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri. Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan,’’ tegasnya.
Amin seterusnya berkata, UMNO harus berani melakukan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar mempertahankan sejarah perjuangan dan mesti memperbaharui naratif perjuangan.
‘’Daripada politik nostalgia kepada politik penyelesaian.Daripada sekadar mempertahankan kuasa kepada membina kepercayaan. Daripada bercakap tentang siapa kita, kepada menjelaskan apa yang kita mampu lakukan untuk rakyat,’’ katanya.
Amin menegaskan, UMNO mesti menjadi suara kepada rakyat yang bekerja keras tetapi masih bergelut dengan kos kehidupan.
‘’Menjadi jambatan mobiliti sosial untuk anak muda. Menjadi pembela pendidikan yang berkualiti. Menjadi penggerak ekonomi yang membuka lebih banyak peluang. UMNO perlu menjadi parti yang mempertahankan kestabilan, perpaduan serta kepentingan nasional dalam sebuah Malaysia yang semakin kompleks,’’ katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak perlu menjadi parti yang paling bising sebaliknya perlu menjadi parti yang paling jelas arah perjuangannya.
‘’UMNO juga tidak boleh takut kepada perubahan. Berubah pada pendekatan, tetapi jangan berubah pada prinsip,’’ tegasnya.





