Malaysia komited pacu masa depan digital ASEAN dipercayai,inklusif

MALAYSIA  menegaskan semula komitmennya untuk memajukan ASEAN digital yang dipercayai, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan menerusi M360 ASEAN 2026 yang julung-julung  kali diadakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyatan berkata, persidangan tersebut  yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bertujuan bagi memperkukuh dialog serantau mengenai kesalinghubungan, inovasi dan ekosistem digital yang selamat dan dipercayai.

‘’Persidangan bertemakan “Trusted Digital Integration Powering ASEAN’s Connected Future” yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam dan hari ini dianjurkan oleh GSMA dengan sokongan Kementerian Komunikasi, melalui MCMC  yang bertindak sebagai Rakan Penganjur, ‘’kata MCMC.

Dalam ucapan perasmian, kata kenyataan itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hala tuju Malaysia adalah jelas, iaitu untuk menterjemahkan kesalinghubungan kepada keupayaan, keupayaan kepada keyakinan, dan kemajuan negara kepada kekuatan serantau.

Beliau berkata, ASEAN berpeluang meraih manfaat digital yang besar susulan pemuktamadan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada Mei 2026, dengan ekonomi digital rantau ini diunjurkan mencecah sehingga AS$2 trilion menjelang 2030, sekiranya dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut MCMC, Malaysia membawa pengalamannya sendiri dalam memperkukuh infrastruktur, kepercayaan dan keupayaan digital ke dalam perbincangan serantau itu.

Liputan Internet di kawasan berpenduduk telah mencapai 99.75% setakat 31 Julai lalu di bawah JENDELA, manakala pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 memperkukuh kebertanggungjawaban platform dan perlindungan pengguna.

 Di peringkat serantau, Kerangka Kemahiran 5G ASEAN dan Platform Pembangunan Kapasiti yang diterajui MCMC melalui Akademi MCMC telah diiktiraf sebagai Projek Pemenang pada Anugerah WSIS 2026.

Projek ini menyokong pembangunan keupayaan digital dan bersedia untuk masa hadapan di kesemua 11 Negara Anggota ASEAN.

Selaku rakan penganjur, MCMC menyumbangkan pengalaman pengawalseliaan dan sektor Malaysia kepada M360 ASEAN, di samping memperoleh pandangan daripada kerajaan, pengawal selia dan industri di seluruh rantau ini.

Melalui M360 ASEAN, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus menyokong kerjasama serantau yang memperkukuh kesalinghubungan, membina kepercayaan digital dan membolehkan inovasi yang bertanggungjawab demi masa depan bersama ASEAN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here