Pengurusan krisis media pelihara kredibiliti SPRM

KEUPAYAAN mengurus komunikasi secara strategik dan membuat keputusan tepat ketika berdepan krisis media merupakan aspek penting dalam memastikan kredibiliti serta keyakinan awam terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus terpelihara.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM,  Hisyam Mohd Yusoff berkata, setiap maklumat berkaitan SPRM yang disampaikan kepada umum perlu dikendalikan secara teliti kerana penyampaian tidak tepat boleh memberi implikasi terhadap persepsi masyarakat terhadap SPRM.

“Dalam pengurusan krisis media, setiap maklumat yang disampaikan boleh membawa pelbagai implikasi jika tidak dikendalikan dengan berkesan.

“Justeru, kita perlu memastikan setiap tindakan komunikasi dibuat dengan teliti, berdasarkan fakta, naratif dan mengambil kira kesannya terhadap keyakinan serta persepsi masyarakat terhadap SPRM,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian pada Cakna Ilmu Siri 11/2026: Strategi Komunikasi dan Pengurusan Krisis Media di Bilik Latihan Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, semalam.

Hisyam Mohd Yusoff (duduk empat dari kanan) bersama peserta-peserta yang menghadiri Cakna Ilmu Siri 11/2026: Strategi Komunikasi dan Pengurusan Krisis Media di Putrajaya, semalam.

Dalam sesi tersebut, Hisyam turut berkongsi pengalaman mengendalikan situasi krisis media serta pendekatan yang boleh digunakan bagi menilai sesuatu isu sebelum menentukan tindakan komunikasi yang bersesuaian.

“Apa yang diharapkan setiap peserta kursus ini dapat memahami kehendak dan peranan BKS khususnya dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan mengenai sesuatu perkara atau kes.

“Ini bagi memastikan BKS dapat membuat keputusan dan merangka naratif yang tepat dalam menyalurkan sesuatu maklumat dengan mengambil kira kesan apabila disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sesi Cakna Ilmu Siri 11/2026 turut menampilkan Timbalan Pengarah BKS, Badrila Jamlus yang berkongsi pengalaman selama 22 tahun dalam bidang kewartawanan dan strategi komunikasi serta tatacara pengendalian isu melibatkan media.

Program anjuran BKP itu disertai 32 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional gred 9 hingga 14 daripada pelbagai bahagian di Ibu Pejabat serta SPRM Negeri.

Bagi menguji kefahaman peserta, program turut disusuli aktiviti berkumpulan dan sesi simulasi yang menampilkan situasi menyerupai keadaan sebenar ketika berdepan krisis media.

Melalui pendekatan tersebut, peserta berpeluang menganalisis senario, membincangkan pilihan tindakan serta mengaplikasikan kaedah komunikasi yang dipelajari secara hands-on selain membuka ruang mengemukakan persoalan dan berkongsi situasi berkaitan tugasan masing-masing.

Program berkenaan dilaksanakan selaras dengan Strategi 2: Pembangunan Kecemerlangan Profesional, Substrategi 2.8: Pelan Pembangunan Sumber Manusia (PSSM) Tahun 2026–2030, yang antara lain memberi penekanan kepada pembelajaran berterusan dan pemindahan kepakaran kepada pegawai SPRM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here