RAMAI rakyat Malaysia masih melihat perang di Asia Barat sebagai konflik yang berlaku jauh di sana.
Selagi petrol masih bersubsidi, barang masih ada di pasar dan kerajaan masih menyediakan bantuan, seolah-olah kehidupan kita tidak banyak terjejas. Sikap itu perlu diubah.
Perkembangan terbaru perang Amerika Syarikat (AS)–Iran menunjukkan konflik semakin meruncing dan mula memberi tekanan lebih besar kepada pasaran tenaga dunia.
Dalam perkembangan terbaru, AS dilaporkan memusnahkan lima kapal tangki minyak Iran. Iran pula mendakwa menyerang kapal-kapal berhampiran Selat Hormuz dan melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan yang menempatkan tentera AS di Jordan.
Selat Hormuz kini menjadi antara titik paling sensitif dalam konflik ini. Mengapa rakyat Malaysia perlu mengambil tahu? Kerana sebahagian besar perdagangan minyak dunia melalui laluan strategik tersebut.
Apabila keselamatan laluan terganggu, bekalan dan penghantaran minyak dunia turut terdedah kepada risiko. Kesan awalnya sudah jelas. Harga Brent sudah melepasi AS$100 setong. Dan apabila harga minyak naik, kesannya tidak berhenti di pasaran minyak.
Minyak naik, kos pengangkutan naik, kos logistik naik, kos operasi meningkat dan harga barang serta makanan turut tertekan. Sektor penerbangan, pengangkutan, perkilangan dan perniagaan yang bergantung kepada tenaga juga akan menerima tempias.
Akhirnya, kesannya boleh sampai ke tempat paling dekat dengan kita – poket rakyat.
Namun masih ada yang berfikir: “Tak apa, kerajaan bagi subsidi.” “Kalau harga naik, kerajaan kena bantu.”
Ya, kerajaan memang mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat. Tetapi kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan tanpa had.
Setiap tambahan subsidi menggunakan wang negara. Setiap bantuan memerlukan peruntukan. Dan setiap ringgit yang digunakan untuk menyerap kenaikan kos mempunyai kos peluang — sama ada kepada sekolah, hospital, pengangkutan awam, infrastruktur, bantuan bersasar atau pengurangan hutang. Sebab itu rakyat juga perlu bersiap siaga. Bukan panik. Tetapi bersedia.
Jangan tunggu harga petrol naik baru hendak mengurangkan perjalanan yang tidak perlu. Jangan tunggu harga makanan meningkat baru hendak mengawal perbelanjaan. Jangan tunggu ekonomi tertekan baru hendak memikirkan simpanan kecemasan. Dan jangan menganggap kerajaan mampu menyerap semua kesan perang untuk selama-lamanya.
Kerajaan perlu bersedia. Rakyat juga perlu bersedia. Kerajaan perlu memastikan subsidi disasarkan dengan betul, ketirisan dibendung dan kedudukan fiskal negara terus terurus. Rakyat pula perlu mengambil langkah sendiri. Apa itu?
*Kurangkan pembaziran.
*Kawal hutang.
*Sediakan simpanan kecemasan.
*Rancang penggunaan minyak.
*Bezakan keperluan dengan kehendak.
Peniaga juga perlu mula memikirkan pelan menghadapi kemungkinan kos tenaga, pengangkutan dan bahan mentah yang lebih tinggi. Kita tidak tahu bila perang AS–Iran akan berakhir. Tetapi kita sudah tahu satu perkara: Risiko kenaikan harga tenaga bukan lagi sekadar kemungkinan di atas kertas.
Jika konflik berlarutan dan gangguan terhadap bekalan atau laluan minyak semakin serius, tekanan terhadap ekonomi global boleh menjadi lebih besar.
Sebab itu jangan tunggu krisis sampai ke poket baru kita mahu mengambil tindakan. Perang mungkin berlaku ribuan kilometer dari Malaysia. Kita mungkin tidak melihat peluru berpandu di langit kita. Tetapi kita boleh merasai kesannya di:
stesen minyak, pasar raya, kedai makan, tambang perjalanan, kos perniagaan dan akhirnya akaun bank kita. Inilah realiti ekonomi yang perlu difahami. Kerajaan boleh menjadi pelindung. Tetapi rakyat juga mesti menjadi lebih bersedia.
Kerana apabila dunia berdepan krisis tenaga, ketahanan ekonomi bukan hanya tanggungjawab kerajaan — ia bermula daripada ketahanan kewangan setiap keluarga. Jangan tunggu perang mengetuk pintu. Bersiap sebelum kesannya sampai ke dompet.





