‘Cukuplah, bagi peluang kami pula’ – Ahmad Zahid ulangi gesaan PRU-16 dipercepatkan

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengulangi gesaan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat tahun depan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, mandat perlu dipulangkan kepada rakyat dan parti diterajuinya bersedia berdepan lawan politik di medan PRU-16.

SEBAHAGIAN daripada perwakilan UMNO yang hadir pada hari ketiga Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bagi mendengar Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri melaungkan gesaan itu kerana yakin parti itu menerusi gelombang biru akan menerajui mandat baharu membentuk kerajaan.

Dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid turut merujuk kepada pihak tertentu dengan ungkapan ‘cukup-cukuplah’, dan ‘bagi peluang kami pula’.

“Justeru, tiba masa PRU-16 disegerakan. Ini bukan desakan. Ini bukan harapan. Ini kehendak rakyat.

“Cukup-cukuplah. Bagi peluang kami pula…alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita telah berlawan, kita lawan. Lawan sampai menang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara hari ini.

Ahmad Zahid berkata, gelombang biru yang dibawa UMNO bukan sekadar untuk menjadikan parti itu sebagai ‘pelengkap kerajaan’, sebaliknya bagi mendapatkan semula mandat memimpin negara.

Beliau menegaskan, landskap politik Melayu kini jauh lebih rencam dengan kesetiaan pengundi yang tidak lagi boleh dianggap kekal.

“Generasi baru tidak terikat dengan nostalgia politik yang lama. Sebab itu kita tidak boleh guna satu formula untuk semua medan,” katanya.

Jelas beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan memberikan pengajaran berbeza kepada parti itu menjelang PRU-16.

Ahmad Zahid berkata, lapan tahun selepas UMNO dan BN kehilangan kuasa pada 2018 sepatutnya menjadi tempoh untuk parti itu bermuhasabah dan memahami perubahan politik.

Katanya, kemerosotan sokongan sebenarnya sudah kelihatan sejak 2008 apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga, sebelum sokongan terus terhakis pada 2013.

“Namun, parti yang mahu bangkit tidak boleh hanya bernostalgia dan menyalahkan orang lain. Kita harus sedar, selalunya kejatuhan tidak bermula ketika kita kalah. Sebaliknya, ia bermula apabila kita terlalu yakin yang kita tidak akan pernah kalah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here