SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Perak untuk mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan di Batu 18, Kampung Kuchai dekat Bota Kiri, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang sebelum menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, BBP Parit dan BBP Kampung Gajah ke lokasi.

Menurutnya, jentera tiba di lokasi pada jam 5.25 petang dan pasukan dimaklumkan lelaki berusia 38 tahun itu terjun ke sungai untuk mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan miliknya di tepi Sungai Perak.
“Anak saudara mangsa cuba menghulurkan bantuan, namun tidak berjaya menyelamatkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi memberitahu, pasukan bomba bersama orang awam menjalankan pencarian pada jam 5 petang hingga 9.45 malam, namun mangsa masih belum ditemukan.
“Operasi pencarian disambung jam 8 pagi ini dengan bantuan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan dan empat anggota PPDA dari BBP Pulau Pangkor. Pasukan Khas Unit Anjing Pengesan (K9) turut akan membantu pencarian mangsa,” katanya.





