Tahanan Palestin alami penderaaan seksual ganas termasuk penggunaan objek keras, dirogol anjing polis

Satu laporan penyiasatan oleh saluran Al-Araby TV mendedahkan lebih banyak testimoni mengerikan mengenai penderaan seksual dan rogol terhadap tahanan Palestin oleh pihak berkuasa penjara Israel, termasuk penggunaan objek keras dan anjing polis dalam serangan.

Menurut laporan itu, hanya sebilangan kecil mangsa yang berani tampil memberi keterangan, manakala majoriti memilih berdiam diri kerana takut diserang semula. Ini menunjukkan jumlah sebenar kes mungkin jauh lebih tinggi daripada yang direkodkan.

Pengarah Dokumentasi Tahanan Palestin Amani Sarahna, berkata penderaan sedemikian dilakukan sebagai usaha untuk “mematahkan semangat dan kemanusiaan tahanan”.

Beliau menambah bahawa cara tahanan diperlakukan menunjukkan “betapa penderaan itu dijadikan sumber hiburan” oleh sesetengah pengawal penjara.

Seorang mangsa, dikenali hanya sebagai Ahmed, menceritakan bahawa dia diheret keluar dari sel, ditelanjangkan dan diserang dengan objek tajam, serta dipaksa menyaksikan tahanan lain dirogol oleh anjing polis.

 “Mereka memaksa tahanan untuk berlutut… dan membiarkan anjing menyerang. Bagaimana mungkin seseorang melupakan saat seperti itu?” katanya dalam temubual.

Seorang  lagi bekas tahanan Palestin mendedahkan kepada Al Jazeera tentang penderaan kejam yang berlaku di penjara terkenal Sde Teiman, yang digambarkan sebagai tempat “disediakan khusus untuk satu bentuk penyeksaan.”

Menurutnya, sekumpulan tahanan telah dibawa ke sebuah halaman simen di dalam penjara dan diarahkan untuk berlutut, sebelum penutup mata mereka dibuka oleh pengawal.

Seorang daripada tahanan kemudiannya diambil keluar dari kumpulan, dipukul dengan teruk dan dipaksa meniarap di atas tanah dengan tangan dan lutut diikat.

“Terdapat kira-kira lapan atau sembilan askar di situ. Mereka menanggalkan pakaian dalam tahanan itu, dan seorang pegawai berpangkat kapten meletakkan sesuatu di bahagian belakang tubuhnya (dubur).”

Selepas itu, para pengawal melepaskan seekor anjing ke arah tahanan tersebut.

“Anjing itu menyerangnya secara seksual. Ia benar-benar berlaku, satu kejadian rogol sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan kepada saluran tersebut.

Seorang pakar psikiatri Palestin, Dr. Abdelfattah Alawi, menjelaskan bahawa penggunaan rogol dan keganasan seksual merupakan sebahagian daripada strategi psikologi untuk menakut-nakutkan tahanan dan masyarakat Palestin secara keseluruhan.

 “Tujuannya ialah untuk menjadikan mangsa sebagai mesej ketakutan kepada seluruh rakyat Palestin,” katanya.

Dalam laporan berasingan oleh Al Jazeera, seorang bekas tahanan dari penjara Sde Teiman turut mendakwa tahanan dipukul, diikat dan diserang secara seksual di hadapan banduan lain, menggambarkan corak penderaan sistematik yang berlaku di beberapa pusat tahanan.

Pertubuhan hak asasi seperti Amnesty International, B’Tselem, dan Euro-Med Human Rights Monitor telah mendokumentasikan aduan meluas mengenai penyeksaan, kelaparan, penghinaan dan keganasan seksual terhadap tahanan Palestin sejak 7 Oktober 2023.

Laporan itu menimbulkan tekanan baharu terhadap Israel untuk membenarkan siasatan bebas antarabangsa terhadap keadaan penjara dan layanan terhadap tahanan Palestin.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img