Dua termasuk warga emas berdepan tali gantung, edar dadah RM57 juta

SEORANG lelaki warga emas antara dua individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 620 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM57.15 juta dalam satu kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan penyeludupan ke negara jiran.

Tertuduh, Goh Ka Hun, 63, dan Low Yah Chien, 43, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 443,418 gram (g) di kawasan tali air Parit Amat Laut, Parit Jawa, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 5 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka turut didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi dengan anggaran berat kasar 180,642g di lokasi, tarikh dan waktu sama.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini bagi sebutan semula kes untuk laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, kedua-dua tertuduh ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Serbuan dilakukan selepas polis mengesan beberapa kenderaan serta sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Hasil pemerhatian awal mendapati beberapa individu sedang memunggah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot sebelum polis menyerbu dan menahan kedua-dua suspek yang dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan.

Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 517 bungkus plastik berisi dadah yang disembunyikan di dalam bot dan but sebuah kereta.

Turut dirampas sebuah bot fiber serta dua enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img