Nahas helikopter: Polis teliti laluan penerbangan, lokasi isi minyak

POLIS memperluas siasatan berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram dengan meneliti beberapa lokasi berkaitan, termasuk tempat pesawat itu mengisi minyak serta laluan penerbangannya sebelum kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, langkah itu antara lain bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang perkara luar biasa yang boleh membantu siasatan.

Setakat ini beliau berkata, tiada petunjuk menunjukkan nahas berkenaan berpunca daripada unsur selain kemalangan, namun semua kemungkinan tetap diambil kira bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh.

“Setakat ini pihak kita telah merakam keterangan daripada 19 saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu sekiranya diperlukan, selain kembali ke lokasi-lokasi berkaitan bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri makan malam bersama media tempatan di Kuching malam ini, lapor Bernama.

Mohamad Zainal berkata, siasatan turut merangkumi keseluruhan kronologi penerbangan, bermula ketika helikopter itu berlepas dari Miri hingga ke destinasi terakhir, termasuk meneliti rekod penerbangan serta kemungkinan terdapat panggilan kecemasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan teknikal berhubung nahas berkenaan diserahkan kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberikan bantuan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, tempoh menyelesaikan siasatan bergantung kepada jumlah keterangan tambahan yang perlu dirakam serta lokasi yang perlu diperiksa semula, namun pihaknya akan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.

Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here