YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, semalam.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan supaya seluruh keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Al-Fatihah dan salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang semalam, helikopter BO-105 yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan KKM terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Nahas itu mengorbankan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan ketika menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Antara yang terkorban adalah, Juruterbang, Kapten Zainol Afiq, Pegawai Perubatan, Dr. Ainul Baroah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit, jururawat Debra Moset, dan Jessie Paya.





