Penemuan rangka manusia: Kerajaan Melaka jamin bekalan air selamat

KERAJAAN negeri Melaka memberi jaminan keselamatan sumber air dan bekalan air terawat kepada pengguna sentiasa menjadi keutamaan susulan penemuan disyaki rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, berdasarkan pemantauan kualiti air yang dilaksanakan setakat ini, tiada pelanggaran terhadap parameter kualiti air yang ditetapkan dikesan dan bekalan air terawat kepada pengguna adalah dalam keadaan selamat.

DATUK Salhah Salleh

“Kerajaan negeri memahami kebimbangan orang ramai, khususnya kerana kawasan penemuan tersebut merupakan sebahagian daripada kawasan tadahan dan sumber air mentah bagi bekalan air negeri Melaka.

“Air yang disalurkan kepada pengguna merupakan air terawat yang telah melalui proses rawatan di loji rawatan air sebelum dibekalkan, manakala kualitinya tertakluk kepada pemantauan serta pemeriksaan mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Media hari ini melaporkan, tiga pemancing terkejut selepas menemukan sebuah tong dram memuatkan rangka manusia dipercayai mangsa bunuh di kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal Machap Baru di Alor Gajah hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, maklumat diterima sekitar jam 11.40 pagi daripada tiga pemancing berkenaan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Salhah dalam pada itu berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan kualiti air di kawasan berkenaan, termasuk melaksanakan pensampelan serta ujian yang diperlukan.

“Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan polis serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap aspek berkaitan penemuan tersebut diberi perhatian sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, penemuan rangka manusia di kawasan rizab empangan itu tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai berlakunya pencemaran atau menjejaskan keselamatan bekalan air kepada pengguna.

“Sebarang kesimpulan berkaitan perkara itu hendaklah berdasarkan keputusan pemantauan, pensampelan dan penilaian teknikal pihak berkuasa,” jelas beliau.

Salhah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang kesimpulan serta menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan keselamatan bekalan air, identiti mangsa atau punca kejadian.

“Kerajaan negeri memberikan jaminan keselamatan sumber air dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan pendekatan berjaga-jaga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap keselamatan bekalan air sentiasa terpelihara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here