PENGERUSI Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu penjelasan daripada DAP Melaka berhubung hasrat parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada pimpinan DAP Melaka berkaitan perkara berkenaan.
“Mereka (DAP Melaka) akan dapatkan maklum balas dalam masa terdekat. Setakat ini belum. Saya pagi tadi di Parlimen,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.
Anwar semalam meminta DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri bagi memberi ruang kepada rundingan.
Beliau dilaporkan berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen kerajaan adalah perkara biasa, namun perkara itu tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
DAP Melaka semalam mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.






