Jurulatih tari direman lima hari, kes amang seksual pelajar

SEORANG jurulatih tari lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal membabitkan pelajar lelaki bawah umur.

Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Nurul Asyikin Rosli terhadap suspek berusia 20 tahun di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Suspek yang juga bekerja sebagai jurumekap ditahan polis semalam selepas seorang mangsa berusia 14 tahun 10 bulan membuat laporan polis pada jam 5.03 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis turut menerima satu lagi laporan daripada mangsa berusia 15 tahun yang juga anak murid suspek dalam bidang tarian tradisional.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian melibatkan kes pertama dipercayai berlaku sejak 4 September lalu di dua lokasi iaitu kediaman suspek di Krubong dan kawasan Tasik 1 Krubong.

“Bagi kes kedua pula, mangsa berusia 15 tahun mengenali suspek sebagai jurulatih tari ketika terlibat dalam persembahan tarian zapin sempena Tourism Day di Encore Theatre, Klebang,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes kedua, mangsa mendakwa kejadian pertama berlaku pada hujung Disember tahun lalu di sebuah hotel di Melaka, manakala kejadian terakhir didakwa berlaku pada awal Jun lalu di rumah suspek di Krubong.

“Mangsa tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa selepas kejadian kerana berasa takut dan trauma.

“Dia bagaimanapun tampil membuat laporan polis selepas mendapati kejadian sama dipercayai berlaku terhadap rakan-rakannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 14(a), manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here