Kurangkan polemik jika mahu pertanian kita maju

SEJAK kebelakangan ini, isu-isu pertanian semakin hangat kerana petani seperti pesawah resah dengan masalah pengurusan bekalan air, baja, benih dan pemotongan pemutuan yang mencecah hingga 50 peratus.

Pengguna pula merungut kenaikan harga bahan makanan dan memberi kesan kepada perbelanjaan serta kuasa beli mereka.

Sebagai individu yang terlibat dalam sektor tersebut, sama ada sebagai usahawan, mendidik usahawan tani dan menjaga kepentingan mereka, saya semakin rimas dengan polemik yang semakin berleluasa berbanding mengatasi masalah yang ada.

Lebih memualkan apabila golongan politik turut menyertai polemik yang kadangkala seolah-olah menggambarkan fungsi dan kuasa kementerian berkenaan menjadi milik parti mereka.

Tanpa menafikan sebahagian suara-suara memperjuangkan hak dan isu petani sedikit sebanyak membantu penyelesaian masalah petani, namun apakah polemik itu benar-benar memberi impak terhadap pembangunan pertanian yang berdepan dengan pelbagai cabaran hari ini?

Saya bukanlah manusia hebat dan perlu mengangkat diri tetapi pengalaman berkecimpung dalam pelbagai sektor pertanian sejak kecil (kini telah mencecah 45 tahun) amat berharga untuk diluahkan dan dikongsikan bersama.

Pengalaman  memajukan pertanian keluarga dan terlibat dengan kerajaan daripada merangka dasar, melaksanakan bersama dan meneruskan kesinambungan sesuatu inisiatif pertanian hingga kini membolehkan saya memahami apakah isu-isu utama pertanian dan bagaimana penyelesaiannya.

Malah, jika hari ini ditanya, di manakah usaha-usaha pertanian yang saya usahakan sendiri mahupun dengan pihak lain termasuk sebagai rakan strategik kerajaan, saya boleh tunjukkan di seluruh negara dan ada di beberapa tempat di luar negara sebagai bukti, bukannya retorik.

 Segala penceritaan masih kekal dan terus bertambah dalam bentuk berita, cerita, gambar dan video ada dalam pelbagai saluran media arus perdana dan media sosial saya seperti Facebook Mr. TVET, Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Jerih Jaya Nordin dan ruangan Randau Demi Negara.

Daripada Raja Permaisuri Agong, hinggalah kerabat diraja, pemimpin negara, penjawat awam hinggalah rombongan negara asing datang menyaksikan hasil usaha tersebut.

Setiap kali musim durian Kampung Gajah, kerajaan Thailand akan menghantar delegasi  mereka melawat dan menikmati buah durian  ketika Kampung Gajah International Durian Festival.

Hasil pengalaman luas saya dapat merasakan apa yang perlu dilakukan terhadap sektor pertanian negara untuk memberi kesan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Pertamanya, kita perlu berlapang dada bahawa banyak kelemahan yang sedang berlaku dan sudah lama diberitahu tetapi masih belum dibetulkan.

Ketika membantu menguruskan soal padi sejak Julai tahun ini, khususnya di Perak Tengah, saya melihat aspek infrastruktur sawah padi terutama di luar kawasan jelapang padi perlu dibangunkan dan dimodenkan segera.

 Infrastruktur uzur dan terlalu lama sudah tidak efisyen untuk produktiviti pertanian serta kalis menghadapi cabaran perubahan cuaca dunia (climate change).

Negara yang maju pertaniannya seperti Thailand, Vietnam dan China dalam pengeluaran padi telah memberikan fokus bajet yang tinggi dalam infrastruktur berbanding Malaysia yang menumpukan banyak tindakan kepada penyerapan subsidi langsung kepada petani. Kos subsidi yang masih tinggi ini tidak mampu meningkatkan produktiviti pertanian negara.

Kedua, cara bekerja kita juga masih belum berubah. Saya yang sudah melihat perjalanan pengurusan dan pentadbiran pertanian negara selama hampir lima dekad dapat menyaksikan trend dan budaya kerja dalam sektor pertanian yang semakin hambar berbanding dahulu.

Pada era 80an, saya menyaksikan kakitangan pertanian sepanjang masa bersama masyarakat di lapangan. Kakitangan wanitanya terjun ke bendang dengan seluar panjang memberi khidmat nasihat. Memastikan segala benih dan baja akan sampai kepada petani sehingga hubungan kemasyarakatannya sangat dirasakan seumpama darah daging keluarga kita.

Saya masih ingat nama-nama pegawai pertanian Kampung Gajah seperti arwah Hajah Saniah, arwah Meor dan Pengarah Negeri Perak seperti Ramli Mudiran dan Dato’ Malim kerana mereka kelihatan selalu turun padang tanpa menunggu waktu krisis.

Hasilnya dapat saya saksikan bagaimana pertanian tradisional orang miskin di kampung menjadi jauh lebih baik serta mendidik golongan seperti saya untuk mencintai sektor itu hingga ke hari ini.

Ketika era Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ledakan pertanian umpama  revolusi  terutama dalam aspek modal insan. Bila Pak Lah mengambil pusat latihan swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan, lonjakan penyertaan belia dalam pertanian meningkat dan melahirkan ramai tokoh berwibawa.

Tetapi kini, saya berani mengatakan bahawa penglibatan belia semakin pudar kerana cara bekerja kita yang tidak betul walaupun pelbagai kajian atas nama penyelidik berwibawa dilakukan berkali-kali.

Semua syor itu saya lihat sudah dikemukakan oleh pelbagai penyelidik antarabangsa sejak 15 tahun lalu. Segalanya tinggal di atas kertas kerana yang memimpin perlu tentu berpengalaman secara teknikal dan taktikal. Akhirnya, kita mengundur ke belakang.

Sama ada pengalaman saya  mahupun kejayaan mana-mana kerajaan di dunia dalam pertanian hari ini adalah hasil usaha dan kesungguhan mempertingkatkan tindakan kerja (execution) secara cepat, cekap, kos berbaloi dan berkesan.

Polemik tetap ada tetapi tidak perlu diperbesarkan berbanding gerak kerja . Semua polemik ibarat masing-masing mahu menegakkan benang yang basah, mempertahankan ego pendebat, mengambil kesempatan politik murahan yang akhirnya tidak memajukan sektor pertanian negara serta perut rakyat yang memerlukan keterjaminan makanan dalam negara.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here