MALAYSIA menegaskan penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 bukan bertujuan menentang mana-mana blok, sebaliknya untuk memperjuangkan sistem antarabangsa dan peraturan yang lebih adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Australia dan rakan antarabangsa lain, sambil menyuarakan keperluan untuk memperbaharui sistem antarabangsa sedia ada.
“BRICS atau ASEAN bukan bertujuan menentang kumpulan lain. Sebab itu kerjasama kita dengan EU, AS dan Australia terus berjalan dan tidak terhalang.
“Kita hanya mahu menetapkan peraturan yang adil. Apabila kita bercakap mengenai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita bukan bercakap mengenai sistem itu sendiri. Sistem yang dipersetujui pada 1945 sudah ketinggalan zaman, tidak adil dan tidak demokratik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia di Calicut, sebelum mengakhiri lawatan kerja beliau ke India hari ini, lapor Bernama.
Anwar turut menegaskan Malaysia perlu mengekalkan hubungan dua hala yang baik dengan AS, namun pada masa sama tidak seharusnya menghalang negara daripada menyuarakan pendirian yang dilihat penting untuk Malaysia, rantau ini dan dunia.
Beliau berkata sistem antarabangsa termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga perlu dikaji semula kerana terdapat aspek tertentu yang tidak lagi mencerminkan keperluan dan realiti semasa.
Perdana Menteri berkata Malaysia turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS dalam perdagangan, termasuk melalui penggunaan mata wang tempatan bagi urus niaga antara negara.
Mengenai keahlian penuh BRICS, Anwar berkata ketika ini terdapat moratorium terhadap kemasukan anggota baharu, namun status Malaysia sebagai negara rakan kongsi membolehkan negara menyertai hampir semua aktiviti dan mekanisme kerja kumpulan berkenaan.
Katanya, Malaysia mendapat sokongan untuk menjadi negara rakan kongsi BRICS dan akan terus memanfaatkan peluang yang tersedia bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta perdagangan.
“Buat masa ini terdapat moratorium dari segi keahlian penuh. Malah, mereka bermurah hati menerima Malaysia sebagai negara rakan kongsi lebih awal.
“Namun, pada pandangan saya, dari segi mekanisme kerja dalam BRICS, ia tidak kelihatan mengehadkan kita daripada menyertai hampir semua aktiviti dan kita sudah pun berbuat demikian,” katanya.
Malaysia menyertai sidang kemuncak itu sebagai negara rakan kongsi BRICS, status yang disandang sejak 1 Januari 2025.
Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang dianjurkan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Beliau turut menyampaikan Kenyataan Negara bertemakan Membentuk Masa Depan untuk Pertumbuhan Global yang Inklusif.





