Pengampunan Najib: ‘’Saya tak pernah ambil sikap prasangka,kebencian’’ – Anwar

PENANGGUHAN permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibuat berdasarkan prinsip negara, hukum, Perlembagaan dan nasihat berkaitan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, peranan beliau dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga tertakluk kepada undang-undang dan panduan rasmi Peguam Negara.

“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya (Yang di-Pertuan) Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di Calicut,  Keralam, sebelum mengakhiri lawatan kerja lima hari ke India.

Anwar berkata, isu pengampunan Najib tidak seharusnya dilihat secara peribadi, sebaliknya dinilai berdasarkan prinsip undang-undang dan tatakelola negara.

“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan.

“Jadi, saya hanya beri pandangan begitu… saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian… tidak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pertimbangan politik dan pandangan tegas pimpinan UMNO turut diambil kira dalam perkara itu, namun beliau memilih untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan prinsip yang dianggapnya betul.

“Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia tetapi saya ambil jalan yang saya anggap betul, ikut lunas hukum dan juga apa yang kita anggap penting dari segi semangat tatakelola dan hukum dalam negara,” katanya.

Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memberi perkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung di Istana Negara pada 11 September.

Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here